Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes gagal isytihar harta: Daim mohon lagi laporan SPRM

Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin sekali lagi memfailkan permohonan bagi mendapatkan dokumen berhubung pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah terhadapinya.

Ahli perniagaan itu berkata laporan SPRM yang memulakan siasatan jenayah terhadapnya berkenaan diperlukan untuk memastikan perbicaraan jenayah yang adil .

Dalam afidavitnya yang disahkan pada Rabu minggu lalu, Daim mendakwa pihak pendakwaan gagal atau enggan mendedahkan laporan itu apabila peguamnya menulis surat kepada mereka pada 31 Jan.

“Aduan tersebut (laporan SPRM) adalah relevan untuk memastikan suatu perbicaraan adil bagi pertuduhan tersebut selaras dengan hak saya di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

"Aduan tersebut adalah relevan bagi mahkamah untuk mencapai keputusan yang adil dan saksama bagi pertuduhan terhadap saya," kata Daim membangkitkan hak asasinya untuk hidup dan kebebasan peribadi.

Lelaki berusia 85 tahun itu menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 kerana dakwaan gagal mematuhi notis agensi antirasuah itu supaya dia mendedahkan asetnya.

Permohonan Daim disebut di hadapan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini.

Semasa prosiding mahkamah terbuka di hadapan Hakim Azura Alwi, timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan pihak pendakwaan akan membantah terhadap permohonan itu.

Azura kemudian menetapkan 27 Ogos depan untuk mendengar permohonan Daim.

Pada 29 Jan, Daim mendakwa dibicarakan atas pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM untuk mendedahkan asetnya, merangkumi 38 syarikat, 25 bidang tanah dan hartanah, tujuh kenderaan mewah serta dua akaun dana pelaburan.

Daim didakwa memberikan akuan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi notis SPRM di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM.

Dituduh melakukan kesalahan itu antara 13 hingga 14 Dis tahun lalu, dia boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM100,000.

Daim dibebaskan dengan jaminan RM280,000 dan seorang penjamin

Isterinya Na'imah Abdul Khalid juga berdepan pertuduhan jenayah yang sama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS