Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail digesa menyediakan garis masa yang jelas selepas kerajaan menyatakan setuju untuk menyemak semula Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020.
Gesaan itu dibuat Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy, ketika berucap di forum “Hak Asasi Manusia di Bawah Saifuddin Nasution – Apa Sudah Jadi?” anjuran beberapa NGO di Advance Tertiary College, Kuala Lumpur malam tadi.
“Apakah ada kemahuan politik untuk melakukannya (menyemak akta)? Atau apakah ada niat untuk menjadikan Akta IPCC lebih berkuasa (mengendalikan aduan tentang pegawai polis)?
“Jika ada kemahuan sedemikian, di mana garis masa dan di mana isu yang kami (aktivis) bangkitkan? Bila Saifuddin akan menyemaknya?” katanya.
Akta IPCC diluluskan oleh pentadbiran Ismail Sabri Yaakob pada Julai 2022 dan dilihat secara meluas oleh pengkritik sebagai pengganti ‘tanpa taring’ bagi Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) dicadangkan PH pada 2019.
Bulan lalu, Saifuddin memberitahu Dewan Rakyat, akta itu akan disemak semula untuk diperkasakan apabila tiba masanya.
“Kita (KDN) mengambil pendekatan bahawa pada hari muka di mana ada keperluan untuk kita melihat semula akta ini, itu akan kita teliti pada ketika itu," katanya di Dewan Rakyat.
Saifuddin turut menyeru agar pengkritik memberikan kepercayaan kepada undang-undang itu.
“Prinsip yang kita pegang, sesuatu undang-undang itu sifatnya dinamik bukan statik. Bermaksud IPCC yang baru berkuat kuasa setahun, saya fikir, pendekatan yang lebih munasabah adalah beri ruang, berikan kepercayaan kepada IPCC," katanya.
Pada Jan lalu 57 pertubuhan masyarakat sivil menggesa kerajaan memperkukuh akta berkenaan melalui ketelusan dan akauntabiliti untuk menamatkan sebarang tindakan ganas polis.
Sevan malam tadi juga mengingatkan Saifuddin supaya tidak memberi alasan bahawa dia adalah "menteri baru" untuk menangani perkara-perkara penting di bawah KDN.
Dia juga menegaskan Saifuddin telah berkhidmat dalam kerajaan Madani selama lebih satu setengah tahun.
“Isu seperti kematian dalam tahanan dan penyeksaan dalam tahanan... Saifuddin bukan lagi 'menteri baru'.
“Dalam masa dua tahun, dia akan memberi tumpuan kepada pilihan raya umum (ke-16).
“Kita harap dia akan menang dan tidak gagal sebagai menteri. Walaupun dia gagal berkali-kali untuk menjadi ahli parlimen, kami harap dia tidak gagal sebagai menteri,” kata Sevan dengan nada menyindir.