Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

PRK NENGGIRI l Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri masih belum "panas" meskipun memasuki hari kelima.

Tiada ceramah mega diadakan oleh kedua-dua gabungan politik yang bertanding baik PN mahupun BN.

BN yang diwakili calon dari Umno, Mohd Azmawi Fikri Ghani dan PN yang diwakili oleh calon Bersatu, Mohd Rizwadi Ismail dilihat bergerak bertemu pengundi melalui program secara berkelompok.

Dua hari sebelum pengumuman calon dibuat, Rizwadi yang adalah timbalan ketua Pemuda PAS Gua Musang bertindak menyertai Bersatu.

Ini bagi membolehkannya bertanding mewakili PN kerana kerusi Nenggiri dimenangi Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu melalui calonnya, Mohd Azizi Abu Naim yang berpaling tadah. Rizwadi kini bertanding menggunakan lambang PAS.

Kedudukan pengundi DUN Nenggiri yang berterabur dalam satu kawasan luas melebihi keluasan negeri Perlis, menyukarkan untuk parti-parti yang bertanding mengadakan ceramah mega.

Isu tanah peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) antara dimainkan PN dan BN dalam kempen PRK Nenggiri.

Takiyuddin Hassan

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dalam ceramah di Bertam Baru beberapa hari lalu mendedahkan ribuan lot tanah yang sepatutnya menjadi hak milik peneroka tetapi tidak diproses Kesedar.

Dia mendakwa sebanyak 602 permohonan telah diluluskan oleh kerajaan negeri di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Limau Kasturi dan 1,374 permohonan lagi di Sungai Terah tidak diproses Kesedar.

Bagaimana pun perkara itu dinafikan Pengerusi Kesedar, Zawawi Othman yang menyifatkan kenyataan Takiyuddin bersifat fitnah.

Katanya, pemberian lot tanah bukan di bawah bidang kuasa agensi itu tetapi oleh Pejabat Tanah dan Galian serta kerajaan negeri.

Isu tanah peneroka Kesedar menjadi tumpuan bagi PN untuk memecah monopoli BN yang tertumpu di kawasan tanah rancangan.

Isu nasional turut dimainkan di Nenggiri, namun tidak begitu ketara.

PAS menyerang Umno mengenai isu kerajasama parti itu bersama Pakatan Harapan (PH) yang turut disertai DAP dan Umno pula bergerak memberi penjelasan mengenai penyertaan mereka ke dalam kerajaan perpaduan.

BN pula menjadikan kelulusan kerajaan PAS Kelantan membenarkan 54 penerokaan baru di Ulu Nenggiri sebagai senjata kempen mereka.

PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.

Mohd Azizi Abu Naim

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini, manakala hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 13 Ogos tidak akan diadakan selepas kesemua 14 pengundi yang terbabit memilih mengundi secara pos.

Menurut SPR seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK DUN Nenggiri yang membabitkan 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS