Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Nota editor: Artikel ini dipinda pada 9 Ogos 2024, dengan membuang nama kanak-kanak itu.


Suspek kes penculikan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di Eco Galleria, Iskandar Puteri pada 20 Julai lepas, akan didakwa di Kompleks Mahkamah Johor Bahru dan Mahkamah Majistret Kulai esok.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata lelaki berusia 31 tahun itu akan menghadapi 15 pertuduhan selepas dua kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan pertuduhan.

“Suspek akan menghadapi masing-masing satu pertuduhan mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 346 Kanun Keseksaan, tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan, empat pertuduhan mengikut Seksyen 8(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, satu pertuduhan mengikut Seksyen 10 akta sama dan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 15(a)(ii) akta itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lelaki tersebut ditahan pada 4.45 pagi, 23 Julai lepas, di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor, bersama kanak-kanak perempuan berkenaan.

Ahad lepas, suspek dilepaskan dengan jaminan polis selepas tempoh remannya selama 13 hari tamat, namun dia ditahan semula pada hari sama susulan penemuan pelbagai alat mainan seks, bahan pornografi dewasa dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak di kediamannya di Kulai.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS