Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penjawat awam bakal nikmati kenaikan gaji hingga 42.7 peratus
Diterbitkan:  Aug 7, 2024 4:14 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

Penjawat awam dijangka menerima peningkatan pendapatan atau gaji sekitar 15 hingga 42.7 peratus menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Dalam sidang media di Putrajaya hari ini, beliau berkata gambaran secara umum berkenaan peningkatan yang tinggi khususnya membabitkan kumpulan pelaksana itu akan dapat dilihat pada minggu depan.

“Insya-Allah, bermula minggu depan. Kita akan dapat gambaran secara umum peningkatan pendapatan atau gaji penjawat awam dijangka sekitar 15 hingga 42.7 peratus.

“Peningkatan ini bagi kumpulan pelaksana dijangka paling tinggi manakala bagi kumpulan ketua setiausaha (KSU) atau Ketua Pengarah Penerangan (misalnya) lebih sederhana,” katanya.

Fahmi berkata perincian, terutama dari aspek jumlah yang perlu diperuntukkan bagi kenaikan gaji penjawat awam akan dapat diteliti dalam dokumen Belanjawan 2025 nanti.

Beliau berkata mesyuarat Jemaah Menteri hari ini juga membincangkan isu kenaikan gaji bagi penjawat awam, khusus berkait Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 pada 16 Ogos ini. 

“Seperti dimaklumkan sebelum ini, yang akan mula diedarkan minggu depan adalah garis panduan berkait kenaikan gaji penjawat awam.

“Namun Jemaah Menteri diingatkan beberapa aspek libat implikasi kewangan, kita perlu bawa bukan hanya (kepada) Jemaah Menteri tetapi Belanjawan 2025 pada 18 Okt,” katanya.

Belanjawan 2025 yang dijadual dibentangkan pada Oktober ini, bertemakan “Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera”.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua penjawat awam memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat selari dengan pelarasan gaji yang akan diumumkan kerajaan.

Sementara itu, Fahmi berkata Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) masih meneruskan usaha pendaftaran syarikat bagi program Dasar Gaji Progresif. 

“Sekiranya ada syarikat swasta yang belum mendaftar dan ingin mendaftar boleh daftar dengan Kesuma. (Ini) usaha kerajaan Madani bukan sahaja bertujuan meningkatkan pendapatan penjawat awam tetapi juga membantu sektor swasta,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS