Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini menasihatkan wartawan supaya "memberi bekerjasama yang baik" dengan polis dalam siasatan pihak berkuasa itu terhadap sumber berita.
Dia berkata walaupun kementeriannya menghormati hak media untuk melindungi sumber mereka namun undang-undang sedia ada masih terpakai.
"Sekiranya ada laporan polis yang dibuat berdasarkan undang-undang sedia ada, pada waktu ini kita mohon sesiapa yang terlibat dalam siasatan untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis.
"Pihak polis akan melakukan siasatan berdasarkan undang-undang sedia ada," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Bagaimanapun, Fahmi tidak menjelaskan sama ada kerjasama dengan polis bermakna wartawan mesti mendedahkan sumber mereka atau tidak.
Fahmi yang juga jurucakap kerajaan ditanya mengenai percanggahan antara kod etika media kerajaan dan siasatan polis.
Ini kerana Fahmi pernah menyatakan bahawa wartawan mesti menghormati privasi sumber mereka.
Semalam, polis mengesahkan menerima laporan berhubung artikel Malaysiakini yang mendakwa ibu pejabat polis Bukit Aman merancang rombakan besar-besaran kepimpinan tertingginya.
Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata laporan itu dibuat oleh seorang pegawai polis di Bukit Aman untuk siasatan lanjut.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Seksyen 505(b) berkenaan dengan niat hendak menyebabkan, atau mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam, atau kepada mana-mana golongan awam supaya seseorang itu mungkin terdorong melakukan kesalahan terhadap negara atau ketenteraman awam. Sabit kesalahan membawa kepada hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pula berkenaan kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar. Sabit kesalahan membawa hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya sekali.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata polis akan memanggil penulis artikel tersebut untuk membantu siasatan.
Laporan Malaysiakini memetik sumber sebagai mendakwa Bukit Aman merancang beberapa pemindahan berprofil tinggi.
Sumber mendakwa, antara yang terkesan Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Ayob didakwa akan diihantar mengetuai sama ada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atau Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) manakala Shuhaily akan dilantik menjadi ketua pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Ketiga-tiga agensi juga terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri. Untuk rekod, jawatan nombor satu dalam APMM dan Nada kosong sejak April lalu.
Ketua Pengarah APMM Hamid Mohd Amin bersara wajib pada 18 April manakala ketua pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon berpindah ke Kementerian Sumber Manusia untuk dinaikkan pangkat sebagai timbalan ketua setiausaha (operasi) kementerian itu.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain semalam menyifatkan spekulasi rombakan itu, yang memetik sumber, sebagai "tidak benar".