Paling Popular
Terkini

PRK NENGGIRI | Seorang tokoh berprofil tinggi dalam PAS mengangkat Adun Rembia di Melaka, Muhammad Jailani Khamis, sebagai 'Hang Jebat' kerana meninggalkan Umno dan menyertai parti tersebut baru-baru ini.

Kata Nik Mohamad Abdul Nik Abdul Aziz, sepanjang usianya yang kini melebihi 50 tahun, belum pernah dia melihat ada wakil rakyat Umno yang kemudian memilih PAS sebagai wadah perjuangan.

"Sepanjang lebih 50 tahun umur saya, saya rasa tak ada wakil rakyat Umno masuk PAS.

"Memang betul-betul Hang Jebat Jailani ni. Ia juga satu sejarah dalam politik negara kita," katanya ketika berucap di ceramah kelompok yang diadakan di Unit Daerah Mengundi (UDM) Serian, Gua Musang.

Hadir sama Muhammad Jailani yang kini menjadi wakil rakyat tunggal PAS dalam Dewan Undangan Negeri Melaka.

Pada 16 Jul lalu, PAS mengesahkan telah menerima penyertaan Muhammad Jailani ke dalam parti itu dan ia diumumkan setiausaha agung mereka, Takiyuddin Hassan.

Penyertaan itu kemudian mencetuskan tanda tanya mengenai status Jailani ekoran wujudnya undang-undang antilompat parti di Melaka.

Bagaimanapun Takiyuddin mendakwa penyertaan Jailani ke dalam PAS tidak akan menjejaskan kedudukan Adun terbabit sebagai wakil rakyat kerana dibuat sebelum DUN Melaka menguatkuasakan undang-undang tersebut.

Untuk rekod sebelum ini Umno menggantung keahlian Jailani.

Berucap pada majlis ceramah sama, Nik Abduh membidas tindakan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan ketirisan.

Dia yang kini menjadi senator mendakwa, susulan tindakan tersebut kos pengangkutan untuk memunggah hasil komoditi seperti kelapa sawit menjadi mahal.

Justeru Nik Abduh mencadangkan dua kaedah lain untuk dilaksanakan kerajaan bagi mengawal agar subsidi diesel dahulu dapat diteruskan dan pada masa sama mengekang ia dicuri warga asing

"Cerdik ke keputusan begitu? Kerajaan nak marah orang seludup diesel di sempadan Thailand, akhirnya dia jual (diesel) mahal.

“Sepatutnya kalau nak lawan penyeludup, pergi jaga sempadan; dan yang kedua cari siapa dalang seludup, pegang (tangkap) dia," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS