GLOBAL | Platform media sosial Elon Musk, X, menyaman sekumpulan pengiklan, mendakwa mereka terlibat dalam "boikot haram" terhadap pengganti Twitter itu.
"Kami cuba berdamai selama dua tahun, kini ia adalah perang," menurut hantaran Musk di X.
Pengiklan yang disaman oleh Musk termasuk syarikat barangan pengguna Unilever, syarikat makanan Mars dan pemilik rangkaian farmasi CVS Health, antara lain.
Tuntutan yang difailkan pada Selasa di sebuah mahkamah daerah di Texas mendakwa boikot itu telah mengakibatkan kerugian berbilion dolar dan melanggar undang-undang persaingan AS.
Persekutuan Pengiklan Sedunia (WFA), sebuah badan perdagangan yang turut disaman, tidak memberi maklum balas awal terhadap dakwaan itu.
Tuntutan itu mendakwa syarikat memboikot X melalui inisiatif WFA yang dipanggil Global Alliance for Responsible Media (GARM). Inisiatif itu telah menimbulkan kebimbangan mengenai isu keselamatan di platform.
Saman ini meningkatkan pertikaian yang bermula dengan pengambilalihan Twitter oleh Musk pada Oktober 2022.
Jutawan teknologi itu, yang menganggap dirinya sebagai penyokong kebebasan bersuara tanpa had, melonggarkan pelaksanaan peraturan Twitter terhadap penyebaran ucapan kebencian dan maklumat salah.
Situasi ini menyebabkan penarikan diri secara beramai-ramai pengiklan dari platform X.
Syarikat-syarikat bimbang tentang reputasi mereka, dengan penyelidik menunjukkan bagaimana iklan dari jenama terkenal boleh muncul bersama dengan pos anti-Yahudi atau rasis.
X, bagaimanapun, menafikan dakwaan bahawa ucapan kebencian berkembang di platform itu.
Dengan inisiatif GARM, pengiklan berusaha untuk menghalang pembelian iklan mereka daripada muncul bersama kandungan bermasalah dengan hanya berurusan dengan platform yang mematuhi garis panduan tertentu.
X menegaskan bahawa badan perdagangan itu secara haram cuba memaksa perkhidmatan itu melaksanakan garis panduan dengan boikot.
"Saya sangat menggalakkan mana-mana syarikat yang diboikot secara sistematik oleh pengiklan untuk memfailkan saman," tulis Musk pada Selasa.
- Berbama-dpa