Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bahan kempen Zahid tersasul: Terlalu rendah, kata Ahmad Maslan

PRK NENGGIRI | Tindakan pembangkang menggunakan isu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tersasul ketika Himpunan Pembebasan Palestin disifatkan terlalu "rendah" untuk ditularkan.

Ini kerana faktor kepenatan dengan jadual yang padat kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ahmad Maslan membuatkan Timbalan Perdana Menteri tersasul ketika menyampaikan ucapannya.

Bahkan, Ahmad Zahid tahu yang majlis berkenaan bertujuan memberi sokongan kepada umat Islam di Palestin.

"Majlis itu ialah majlis (untuk) Palestin tak kan lah Datuk Zahid (sengaja).

"(Dia) selama-lamanya (memberi) sokongan (kepada) Palestin tapi ditakdirkan tersasul nak buat macam mana," katanya ketika ditemui semasa berkempen di Nenggiri, Gua Musang semalam.

Pembangkang menggunakan video Ahmad Zahid tersasul sebagai alat kempen bagi PRK DUN Nenggiri di media sosial.

Video tersebut ditularkan melalui platform media sosial WhatApps, Facebook dan juga TikTok.

Laman sosial TikTok Pemuda PAS Machang antara yang turut menular video berkenaan dengan kapsyen undi "pakoh Umno BN= vote 4 Israyell".

Hati ikhlas, tetap membara

Facebook Negeri Sembilan Madani turut mengkritik Ahmad Zahid kerana tersasul dengan menyebut "Hidup Israel".

"Tersasul itu biasa sebab kita manusia. Tapi kalau dah 'hidup Israel'. Itu luar tabi'e," tulis pengendali Facebook berkenaan.

Semalam, Ahmad Zahid memohon maaf selepas secara tidak sengaja melaungkan sokongan untuk Israel semasa Himpunan Pembebasan Palestin yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Katanya, kesilapan itu berlaku ketika dia penuh bersemangat menyatakan dukungan terhadap isu perang yang melanda di Timur Tengah.

"Dalam keghairahan dan rasa penuh semangat tadi, saya memohon maaf atas kekhilafan saya dalam berbicara.

"Namun hati yang tulus ikhlas ini tetap membara untuk melaungkan bebas Palestin, hidup Palestin, dan merdeka Palestin," katanya di Facebook.

Ditanya jika perkara itu memberi kesan terhadap kempen BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, Ahmad berkata orang ramai boleh menerima perkara yang tidak disengajakan.

"Tidak (beri kesan), sebab orang boleh menerima tersasul...tersasul ini kadang-kadang keletihan punca tersasul.

"Saya tahu dia (Ahmad Zahid) memang letih ke sana ke mari, merasmi (mesyuarat perwakilan) Umno merasmi bermacam program, datang ke Nenggiri lagi.

"Perkara tersasul ini terlalu rendah untuk diviralkan, bukan atas niat tapi tersasul," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS