mk-logo
Berita
Tiada kenyataan rasmi - IGP nafi pertukaran jawatan tertinggi polis
Diterbitkan:  Aug 6, 2024 3:24 PM
Dikemaskini: 2:54 PM

Ketua Polis Negara Razarudin Husain hari ini menyifatkan spekulasi rombakan besar-besaran melibatkan kepimpinan tertinggi Bukit Aman sebagai "tidak benar" kerana tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh ibu pejabat polis persekutuan.

Razarudin berkata polis telah mengesan laporan portal dalam talian yang memetik sumber yang mendedahkan apa yang didakwa sebagai "rancangan dalaman" Bukit Aman dengan beberapa pegawai kanan dijangka dipindahkan keluar dari agensi itu.

"PDRM ingin menegaskan, tiada mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tentang perkara yang dimaksudkan.

"PDRM telah menghubungi pihak portal berkenaan, namun mereka enggan mendedahkan identiti sumber yang dinyatakan di dalam laporan berita itu.

“PDRM menasihatkan semua pihak agar tidak memetik sebarang sumber yang tidak rasmi, terutama melibatkan pasukan keselamatan dan agensi kerajaan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu maklum balas terhadap laporan Malaysiakini yang memetik sumber yang enggan dinamakan dan mendakwa beberapa pegawai kanan termasuk Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay antara mereka yang akan terlibat dengan rombakan itu.

Seorang lagi pegawai kanan polis yang didakwa akan dipindahkan keluar dari Bukit Aman ialah Mohd Shuhaily Mohd Zain, yang kini merupakan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.

Kenyataan Razarudin bertajuk "Kenyataan Tidak Benar" dikongsi dalam kumpulan WhatsApp media rasmi Bukit Aman.

Diminta penjelasan jika Razarudin menafikan laporan Malaysiakini, seorang jurucakap polis berkata laporan itu dianggap "tidak benar" kerana ia tidak memetik sumber rasmi polis.

“Tajuk kenyataan itu (oleh Razarudin) merujuk kepada laporan portal dalam talian itu,” kata jurucakap itu.

Malaysiakini sebelum ini menghubungi Ayob yang masih belum memberikan maklum balas manakala seorang pegawai kanan KDN mengesahkan jika ada sebarang rancangan rombakan, ia akan dikendalikan oleh PDRM.

Berita berkaitan:

Bukit Aman rancang pindahkan pegawai kanan polis?

Bukit Aman buat laporan artikel M'kini dakwa pertukaran jawatan polis


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS