Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM kembalikan cuti bersalin 90 hari untuk doktor di Hulu Langat

Kementerian Kesihatan telah mengembalikan semula kelayakan penuh cuti bersalin selama 90 hari untuk tujuh pegawai perubatan di Hulu Langat, yang dilaporkan dinafikan hak itu oleh pegawai atasan mereka.

Menurut Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, keputusan itu dibuat sebelum isu itu tular dan dilaporkan oleh portal kesihatan CodeBlue.

Justeru, katanya, mereka menganggap isu itu sudah selesai.

"Saya tekankan bahawa perkara itu telah pun diselesaikan. Apa yang disebut awal tadi, tak diberikan, telah pun diberikan lanjutan 90 hari itu.

"Dan pada saat itu, ketika itulah juga didedahkan perkara ini dan jadi satu yang tular yang sangat kita boleh fahami,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program KKM tengah hari tadi.

Dzulkefly berkata KKM amat memahami kepentingan cuti bersalin kepada tumbesaran kanak-kanak dan menegaskan kementerian perlu lebih belas kasihan dan empati terhadap kakitangan mereka pada masa hadapan.

"Oleh itu, bergerak ke hadapan, kalau berlaku perkara seperti ini, penyelesaian pertama adalah memobilisasikan atau menempatkan MO di klinik persekitaran untuk menampung walaupun dikatakan sehingga tujuh doktor pada satu masacuti bersalin.

"Sepatutnya tidak menjadi masalah besar jika kita boleh menggerakkan MO daripada kemudahan lain di dalam daerah untuk mengambil alih (sementara).

“Malangnya kes ini berlaku, tetapi insyaAllah, pada masa akan datang kita akan pastikan... kita adalah kementerian yang sepatutnya menunjukkan empati dan belas kasihan kepada kakitangan kita,” katanya.

Minggu lalu, portal kesihatan CodeBlue melaporkan bahawa pejabat kesihatan daerah Hulu Langat telah mengehadkan kelayakan cuti bersalin kepada 60 hari untuk semua pegawai perubatan yang bekerja di klinik kesihatan awam sejak 27 Jun lalu.

Dalam pekeliling yang dilihat portal itu, pejabat kesihatan daerah Hulu Langat berkata sekatan cuti itu disebabkan kekurangan doktor yang kritikal di semua klinik kesihatan awam di daerah berkenaan.

Susulan itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) semalam menyelar KKM kerana mengambil langkah sedemikian, yang mereka katakan sebagai pencabulan hak pekerja.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS