Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke hari ini membidas presiden Gerakan Dominic Lau sebagai muka tebal.

Bercakap kepada pemberita, Loke berkata dia menerima pandangan Umno bahawa tidak ada keperluan untuk bantuan DAP dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri yang sedang berlangsung kerana terdapat sangat sedikit pengundi Cina.

“Saya dah cakap kita memang ada semangat muafakat. Kalau ada jemputan kita pergilah. Tapi kalau tak ada keperluan kita tak pergilah.

"Sebab ada pandangan mungkin kita tak diperlukan. Jadi saya punya muka besar tapi tak tebal macam Dominic Lau," kata menteri pengangkutan itu selepas program Jabatan Pengangkutan Jalan di Gombak .

“Tapi kita ucapkan selamat maju jaya kepada calon BN," tambahnya.

Teguran Loke terhadap Lau dipercayai ada kaitan dengan ketegangan antara Gerakan dan PAS menjelang pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri berhubung isu sumbangan kilang bir kepada sekolah vernakular.

Pengarah pilihan raya PN Muhammad Sanusi Mohd Nor mempersilakan Gerakan untuk meninggalkan gabungan itu, jika parti itu tidak lagi senang bekerjasama dengan PAS dan Bersatu.

Gerakan tidak hadir semasa pengumuman calon PN Nenggiri pada 29 Julai, tetapi Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata Ahad lalu bahawa "semuanya telah diselesaikan" selepas pertemuan antara pemimpin parti komponen.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Ahmad Maslan, ketika ditemui di laluan kempen Nenggiri semalam, berkata tiada keperluan untuk bantuan daripada DAP atau MCA di kerusi majoriti Melayu dengan hanya 35 pengundi Cina.

Ahmad bagaimanapun berkata Umno dan BN tidak mempunyai sebarang halangan jika mana-mana pihak masih mahu datang ke Nenggiri.

Sementara itu, Loke hari ini mengulangi pendirian DAP bahawa prinsip penyandang perlu dihormati dalam menamakan calon bagi kerusi DUN Mahkota di Johor.

"Tidak ada perebutan, ini perbincangan. Ia perkara biasa tetapi kami (DAP) telah menyatakan pendirian kami," kata Loke yang mengulangi pandangan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Amanah Kluang sebelum ini mengumumkan hasrat meletakkan calon di Mahkota, yang dikosongkan berikutan kematian penyandangnya Syarifah Azizah Syed Zain daripada Umno, seterusnya mencetuskan spekulasi awal pertelingkahan antara parti dalam kerajaan perpaduan.

Presiden Amanah Mohamad Sabu bagaimanapun malam tadi berkata tuntutan terhadap Mahkota tidak perlu dibincangkan secara terbuka dan fokus semasa perlu kekal untuk menewaskan calon PN di kerusi berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS