Dikemas kini dengan tambahan penafian Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
Ibu pejabat polis Bukit Aman didakwa merancang rombakan besar-besaran kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan beberapa pegawai kanan dijangka dipindahkan keluar daripada agensi itu.
Menurut sumber, rombakan itu didakwa turut melibatkan Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay.
“Apa yang kita dengar, Datuk Ayob mungkin akan dihantar mengetuai agensi lain di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
"Beliau akan mengetuai sama ada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atau Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA)," kata sumber polis kepada Malaysiakini.
Ayob enggan memberi komen apabila ditanya mengenai dakwaan tersebut.
Pada masa sama seorang pegawai kanan KDN mengesahkan jika ada sebarang rancangan rombakan, ia akan dikendalikan oleh PDRM.
Bagaimanapun, sumber itu yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan mendakwa ia adalah perancangan dalaman Bukit Aman.
"KDN tidak terlibat dalam hal ini. Ia berkaitan dengan dinamika dalam PDRM," dakwa sumber tersebut.
Malaysiakini telah menghubungi Ketua Polis Negara, Razarudin Husain untuk mendapatkan komen.
Seorang lagi pegawai kanan polis yang didakwa akan dipindahkan keluar dari Bukit Aman ialah Mohd Shuhaily Mohd Zain, yang kini merupakan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.
Pesuruhjaya polis berpangkat tiga bintang itu, menurut sumber, mungkin dihantar ke Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai ketua pengarahnya yang baru.
Malaysiakini juga telah menghubungi pejabat Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dan Shuhaily untuk mendapatkan komen.
Untuk rekod, jawatan nombor satu dalam APMM dan Nada kosong sejak April lalu.
Ketua Pengarah APMM Hamid Mohd Amin bersara wajib pada 18 April manakala ketua pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon berpindah ke Kementerian Sumber Manusia untuk dinaikkan pangkat sebagai timbalan ketua setiausaha (operasi) kementerian itu.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain petang ini menyifatkan spekulasi rombakan itu, yang memetik sumber, sebagai "tidak benar".
Katanya, PDRM menasihatkan semua pihak tidak memetik sumber tidak rasmi, terutama melibatkan pasukan keselamatan dan agensi kerajaan.
Baca berita berkaitan:
Tiada kenyataan rasmi - IGP nafi pertukaran jawatan tertinggi polis
Bukit Aman buat laporan artikel M'kini dakwa pertukaran jawatan polis