Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cuepacs kesal cuti bersalin doktor di Hulu Langat dihadkan 60 hari
Diterbitkan:  Aug 5, 2024 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam dan (Cuepacs) kesal dengan situasi kekurangan petugas kesihatan di Selangor hingga mengakibatkan cuti bersalin pegawai perubatan di daerah Hulu Langat terpaksa dihadkan hanya kepada 60 hari.

Presidennya, Adnan Mat berkata langkah mengehadkan cuti bersalin berikutan kekurangan pegawai perubatan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di Hulu Langat tidak seharusnya berlaku jika perkara itu diberi perhatian daripada peringkat awal.

"Daripada segi undang-undang perkara itu memang tidak menyalahi peraturan sedia ada, tetapi daripada sudut kebajikan kita sebenarnya telah menidakkan hak pekerja tersebut.

"Cuepacs tidak mahu isu kebajikan petugas kesihatan ini diabaikan dalam memastikan perkhidmatan kesihatan berjalan seperti biasa. Mereka ini tetap manusia yang memerlukan rehat mencukupi, melakukan aktiviti sosial yang sihat dan mempunyai keluarga yang perlu diberi perhatian juga," katanya dalam kenyataan.

Justeru katanya, Cuepacs menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menyelesaikan segera masalah kekurangan petugas kesihatan di fasiliti kesihatan kerajaan yang boleh mengganggu kelancaran perkhidmatan kesihatan negara selain mengabaikan kebajikan warga kerjanya.

Minggu lalu, portal kesihatan CodeBlue melaporkan pejabat kesihatan daerah Hulu Langat mengehadkan cuti bersalin kepada 60 hari untuk semua pegawai perubatan di klinik kesihatan awam sejak 27 Jun.

Dalam pekeliling yang dilihat portal itu, pejabat kesihatan daerah Hulu Langat berkata langkah itu diambil berikutan kekurangan doktor di semua klinik kesihatan di daerah berkenaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) Dr Ummi Kalthom Shamsudin pada Sabtu lepas berkata keputusan untuk meluluskan penetapan cuti bersalin selama hanya 60 hari itu dipersetujui oleh semua ketua klinik di daerah berkenaan.

Menurut laporan Bernama, Ummi berkata keputusan itu dicapai dengan mengambil kira terdapat tujuh pegawai perubatan cuti bersalin secara serentak di beberapa klinik kesihatan sepanjang Jun dan Julai, di samping beberapa pegawai perubatan yang diarahkan melapor diri ke PKD Hulu Langat telah menolak penempatan yang diberikan.

Sementara itu Adnan berkata meskipun Jabatan Kesihatan Negeri memberi jaminan untuk mempertimbangkan sebarang permohonan mendapatkan cuti bersalin tambahan secara bersendiri, Cuepacs bimbang wujudnya elemen pemaksaan terhadap pegawai awam terbabit.

"Ini kerana kelulusan tersebut adalah tertakluk kepada kepentingan perkhidmatan dan pertimbangan ketua jabatan yang bersifat subjektif.

"Usaha untuk mempercepatkan pengisian kekosongan jawatan perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan petugas kesihatan tidak dikerah bertugas lebih masa demi menampung kekurangan itu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS