Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis soal aktivis bawa plakad bantah Blackrock di himpunan Palestin

Usaha dua aktivis pro-Palestin untuk menyuarakan bantahan terhadap penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena di Bukit Jalil semalam, berakhir dengan soal siasat polis.

M Mythreyar, 46, yang mogok lapar selama sembilan hari bagi membantah penjualan itu, berkata dia menyertai himpunan itu bersama seorang kawan perempuan yang enggan dinamakan.

Mengimbas kembali insiden itu, Mythreyar memberitahu Malaysiakini mereka masuk ke stadium kira-kira pada jam lapan malam dan dibenarkan masuk selepas pengawal keselamatan memeriksa beg mereka dan melihat plakad berkenaan Blackrock di dalamnya.

“Kami turun ke bawah, di mana hadirin duduk.

“Kemudian kami bangun dan mengangkat plakad kami,” katanya. 

Berdasarkan gambar, Mythreyar mengangkat plakad bertulis “TOLAK PERJANJIAN BlackRock” dan “REJECT THE BlackRock Agreement”.

Satu lagi plakad bertulis “WALK THE TALK AND DROP BLACKROCK”.

“Kira-kira jam 9.15 malam, kami bergerak mendekati pentas.

“Kami ke situ sekitar ketibaan PMX (Perdana Menteri Anwar Ibrahim). Mungkin dia ada nampak plakad kami, mungkin juga tidak,” katanya.

Dibebaskan selepas hampir sejam

Insiden dengan pihak berkuasa tercetus ketika mereka ingin beredar, kata Mythreyar. Dia berkata ketika itu sekumpulan pengawal keselamatan stadium dan seorang polis berpakaian biasa mendekati mereka di tangga stadium.

“Pengawal keselamatan cuba merampas plakad kawan saya, dan apabila dia melawan, mereka iringi kami keluar.

“SB (polis berpakaian biasa) minta kad pengenalan kami, tapi kawan saya tak beri dan minta dia tunjukkan kad kuasa polis miliknya.

“SB itu panggil lebih ramai polis dan kemudian enam hingga tujuh polis beruniform keliling kami,” katanya.

Ketika itu, kata Mythreyar, kawannya cuba merakam situasi itu namun dipaksa memadam video yang dirakam jika tidak ingin ditangkap di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 2008.

“Polis minta kami tunjuk plakad kami. Mereka kata ia bukan kesalahan jenayah tapi perkataan BlackRock ‘sensitif’,” katanya lagi.

Katanya, mereka akhirnya setuju untuk menunjukkan MyKad kepada polis, sebelum dibawa ke van polis dan kemudian ke sebuah bilik dalam stadium, di mana ada empat anggota polis berseragam yang menunggu.

Dalam bilik itu, katanya, mereka disoal siasat dan gambar mereka bersama-sama plakad diambil “seperti penjenayah”.

Mereka dibenarkan beredar dari bilik itu hampir sejam kemudian, katanya lagi.

‘Bagaimana kalau tersasul macam Zahid?’

Mengulas insiden itu, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM S Arutchelvan membandingkan tindakan terhadap mereka dengan kesilapan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi melaungkan “hidup Israel” dan permohonan maafnya selepas itu.

“Zahid Hamidi laung hidup Israel, bukannya hidup Palestin.

“Bayangkan apa yang berlaku jika rakyat biasa buat kesilapan sama, atau lebih buruk, rakyat bukan Islam yang tersasul menyebutnya. Pastinya mereka akan ditahan dan didakwa,” dakwa Arutchelvan.

Menyifatkan kesilapan Zahid sebagai memalukan, Arutchelvan turut menyamakan presiden Umno itu dengan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden yang tersilap merujuk Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky sebagai “Presiden Putin” ketika bercakap dengan pemberita berkenaan sokongan Nato terhadap Ukraine.

“Apa yang benar-benar buat saya kecewa adalah bila polis tahan sementara dua aktivis pro-Palestin di himpunan sama kerana angkat plakad yang menggesa kerajaan membatalkan perjanjian dengan BlackRock.

“Apa yang dua aktivis pro-Palestin lakukan adalah dalam ruang lingkup hak perundangan mereka dan kerajaan, polis dan penganjur perlu memohon maaf,” katanya.

Himpunan semalam yang dianjurkan kerajaan bersama-sama beberapa NGO menarik 10,000 hadirin bagi menunjukkan solidariti Malaysia dengan perjuangan Palestin serta mengutuk pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh,



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS