Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih baik Amanah bantu calon BN di DUN Mahkota - Ahmad Maslan

Adalah lebih elok Amanah membantu calon BN bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota daripada menuntut kerusi berkenaan daripada Umno.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Ahmad Maslan, berkata ini kerana parti itu tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

"Kita sudah ada persefahaman, siapa yang menang tempat itu mereka akan bertanding. Itu jelas.

"Amanah bertanding PRN lalu (di DUN Mahkota), tapi Umno dapat undi 16,000, Amanah 11,000 (undi) jadi itu faktanya.

"Bagus kalau Amanah campur BN 16,000 tambah 11,000. Banyak ribu boleh menang tu. Saya ada matlamat keyakinan untuk menang," katanya ketika ditemui di Bertam Lama, Gua Musang, hari ini.

Terdahulu, Amanah dilaporkan terus mendesak pucuk pimpinan PH dan BN agar calon parti itu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, desakan itu akan terus dilakukan jika Umno Johor masih tidak ikhlas membina Kerajaan Perpaduan di negeri itu dengan melibatkan wakil Amanah atau PH dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Jelasnya, sekiranya masih tiada wakil dalam kerajaan negeri, Amanah sedia bertanding walaupun terpaksa berdepan pertemuan tiga penjuru dalam PRK DUN Mahkota nanti.

Di sebalik polemik itu, semalam Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyokong cadangan supaya parti berkenaan diberikan sekurang-kurangnya satu kerusi di kawasan Kota Raja pada pilihan raya akan datang.

Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata cadangan yang diutarakan Ketua Umno Bahagian Kota Raja Tengku Zafrul Abdul Aziz itu sesuai dengan realiti politik semasa yang dibina atas dasar kefahaman antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.

"Namun kita berazam dengan persefahaman yang disebut kita harap Kota Raja ini rakan-rakan (Kerajaan Perpaduan) akan melihat kebersamaan bahawa takkanlah daripada empat (kerusi) satu pun tak boleh nak beri," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Kota Raja di Klang.

Mengulas lanjut, Ahmad Maslan, berkata BN tetap akan bertanding dalam PRK DUN Mahkota yang akan diumumkan.

"Calon tetap BN, presiden sudah cakap, Umno itu jelas. Mereka (Amanah) mencuba tak salah nak tuntut kerusi," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS