Aktivis hak asasi manusia mengkritik Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung apa yang mereka lihat sebagai tindakan “intimidasi” terhadap penganjur Festival Filem Kebebasan (FFF) yang bermula hujung minggu lalu di Petaling Jaya, Selangor.
Ia selepas penganjur menyatakan pegawai penguat kuasa daripada KDN pergi ke Petaling Jaya Live Arts Centre semalam untuk membuat pemeriksaan terhadap acara itu, bagi melihat jika filem yang ditayangkan tidak melanggar Akta Penapisan Filem 2002.
Walaupun acara diteruskan, aktivis berkata kunjungan seumpama itu amalan “ketinggalan zaman” dan satu bentuk “intimidasi” terhadap kebebasan bersuara.
“Jika kerajaan Madani serius tentang reformasi, mengapa masih guna taktik intimidasi basi esperti ini?” soal ketua strategi Malaysian Centre of Constitutionalism and Human Rights Firdaus Husni, yang turut menjadi moderator satu sesi perbincangan di acara itu.
Maklum berkenaan kehadiran penguat kuasa selama dua hari berturut-turut, Firdaus berkata amalan tersebut adalah “taktik lapuk kerajaan terdahulu yang sepatutnya dihentikan”.
Lebih ironi, katanya lagi, filem yang ditayangkan serta sesi perbincangan selepas itu adalah berkenaan solidariti dan keganasan berterusan di Palestin, sama seperti himpunan anjuran kerajaan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.
Acara tahunan
Ketika dihubungi, penganjur festival Anna Har berkata pegawai KDN dari cawangan Putrajaya datang pada Sabtu lalu bagi memeriksa kemudahan penstriman, sementara pegawai dari cawangan Selangor datang keesokannya untuk memberitahu penganjur yang mereka ingin hadir pada tayangan jam lapan malam hari tersebut.
Har yang juga pengarah Freedom Film Network menyatakan kunjungan itu tidak menjejaskan tayangan dan festival akan diteruskan seperti biasa untuk tiga minggu seterusnya, dengan menampilkan pelbagai tetamu dan filem antarabangsa.
Menurutnya, pegawai KDN hadir ke festival setiap tahun bagi memastikan penganjur mematuhi Akta Penapisan Filem 2002, namun akta itu tidak terpakai untuk tayangan filem secara dalam talian, seperti yang dilakukan mereka.
“Pegawai datang setiap tahun, ada kala pakai seragam dan ada kala tidak, tetapi mereka biasanya beredar selepas bercakap dengan kami dan mengesahkan kami tidak melakukan apa-apa yang melanggar undang-undang,” Katanya lagi.
Sementara itu, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) menyatakan kehadiran penguat kuasa KDN “menghantar mesej menakutkan kepada mereka yang ada dalam ekosistem Festival Filem Kebebasan”.
“Kerajaan perlu hentikan bentuk gangguan seperti ini yang mewujudkan suasana ketakutan dan mengancam kebebasan ekspresi kita,” kata CIJ di X.
Menteri yang rasmi
Kehadiran pegawai KDN dilihat canggung memandangkan festival itu dirasmikan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Antara filem yang ditayangkan pada Sabtu lalu adalah filem tempatan dan antarabangsa berhubung sejarah penentangan dan kritikan terhadap penguasa.
Pada Ahad pula, filem dokumentari berkenaan Palestin, Three Promises ditayangkan, disusuli dengan sesi perbincangan berkenaan gerakan solidariti global dalam menentang perang dan genosid.