Amanah Kluang mempertahankan usaha bahagian itu untuk bertanding di kerusi Mahkota di Johor, yang diumumkan hanya beberapa hari selepas kematian penyandangnya, bekas Ketua Wanita Umno Kluang Syarifah Azizah Syed Zain.
Ketika dihubungi, Ketua Amanah Kluang Zuhan Mohd Zain berkata pihak mereka menghormati Syarifah Azizah dan sumbangannya dikenang, namun, katanya terdapat perbincangan yang perlu diteruskan termasuk isu penggantinya.
"Kepada Pemuda Umno Johor, dengar baik-baik sidang media saya (awal hari ini)... kita sendiri berdukacita," kata Zuhan sebagai respons kepada Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros.
"Allahyarhamah kawan kita, kita pun kehilangan. Tetapi proses kebiasaan…apabila kehilangan berlaku tetap ada perbincangan yang perlu diteruskan," kata Zuhan yang juga pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Awal hari ini, Zuhan semasa sidang media di Kluang mengumumkan hasrat bahagiannya untuk bertanding di kerusi Mahkota, memetik kemenangan Amanah pada pilihan raya umum ke-14.
Ini menimbulkan teguran keras Azleen yang menyeru Amanah agar tidak "gelojoh" dan menghormati keluarga Syarifah Azizah.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Amanah Johor Suhaizan Kaiat berkata tiada keputusan dibuat oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan BN mengenai kerusi Mahkota.
“Tuntutan hari ini mewakili akar umbi Amanah Kluang,” kata Ahli Parlimen Pulai itu kepada Malaysiakini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya semalam mengumumkan bahawa mesyuarat untuk memutuskan tarikh berkaitan hanya akan diadakan pada 13 Ogos.
Zuhan, yang berpangkalan di Johor Bahru, berkata bahagian yang ditubuhkan dan diterajuinya sejak 2016 itu kini dianggotai lebih 2,000 ahli.
"Kami bersedia pada bila-bila masa dengan calon jika ditugaskan untuk bertanding di kerusi itu," tegasnya.
Terdahulu, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berkata pemimpin PH dan BN harus dibenarkan membincangkan perkara itu tanpa tuntutan mereka disiarkan melalui media.
Dia berkata DAP Johor berpegang kepada prinsip "penyandang" iaitu parti yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya sebelumnya akan meletakkan calon dalam pilihan raya kecil itu.
Pada pilihan raya negeri Johor 2022, Muhammad Taqiuddin Cheman dari Amanah gagal mempertahankan kerusi itu bagi PH, dalam pertandingan empat penjuru menentang Syarifah Azizah, PN dan Warisan.
Mahkota adalah satu daripada dua kerusi DUN di bawah parlimen Kluang, satu lagi kerusi Mengkibol, kedua-duanya dipegang oleh PH melalui DAP.