Susulan kenyataan Amanah bahagian Kluang yang menyatakan hasrat bertanding di kerusi DUN Mahkota, Pengerusi DAP Johor, Liew Ching Tong berkata penentuan dan pelantikan calon serta pembahagian kerusi ditentukan oleh kedua-dua pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan BN secara musyawarah tanpa perlu dibincangkan di media massa.
Katanya, pada masa sama, DAP Johor berpegang kepada prinsip "penyandang" dengan parti yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya sebelum ini akan meletakkan calon dalam pilihan raya kecil itu.
"Biarlah kepimpinan membuat keputusan tanpa sebarang spekulasi serta tanpa mana-mana pihak membuat tuntutan terbuka di media massa.
"Rundingan kerusi akan ditentukan oleh pucuk pimpinan PH dan BN. DAP Johor akan menghormati keputusan yang bakal dibuat," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kerusi DUN Mahkota menjadi kosong berikutan kematian penyandangnya daripada Umno, Sharifah Azizah Syed Zain.
Ketua Amanah Kluang Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata berdasarkan analisis mendalam situasi politik semasa, dia mahu Amanah dibenarkan bertanding dalam PRK itu.
Memetik laporan The Star, Mohd Zuhan berkata kerajaan negeri Johor bukanlah kerajaan perpaduan seperti yang diamalkan oleh kerajaan pusat dan beberapa negeri lain.
Katanya, PH hanya gabungan mesra dan bukannya sebahagian daripada kerajaan negeri Johor kerana tidak memegang sebarang jawatan exco, ahli majlis pihak berkuasa tempatan atau pun sebarang jawatan ketua kampung di bawah kerajaan negeri yang diterajui BN.
Mohd Zuhan juga dilaporkan tidak berpuas hati dengan Ketua Umno Bahagian Kluang Md Jais Sarday, yang didakwanya secara terbuka tidak mahu bekerjasama dengan PH.
Justeru, katanya, kenyataan pemimpin Umno itu amat menyinggung perasaan akar umbi PH dan telah membuka pintu kepada musuh untuk memecah belahkan kerajaan perpaduan di Kluang.
Bulan lalu, pengerusi Umno bahagian itu dilaporkan mendakwa bahawa bekerjasama dengan DAP tidak memberi keuntungan buat Umno dan BN dari segi memperjuangkan hak Melayu.
Malah, menurutnya kerjasama itu telah menjadi “duri dalam daging” apabila berlaku tuntutan berterusan terhadap perkara yang mengguris perasaan orang Melayu.