Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kemerdekaan kita tak lengkap tanpa pembebasan Palestin’ buat MCA sentap
Diterbitkan:  Aug 5, 2024 2:11 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Pemuda MCA meluahkan rasa tidak senang dengan kenyataan Menteri Sumber Manusia Steven Sim bahawa kemerdekaan Malaysia tidak lengkap tanpa pembebasan Palestin.

Timbalan ketua pemudanya Jacob Lee berkata kenyataan Sim dalam perhimpunan mega pro-Palestin anjuran kerajaan di Bukit Jalil malam tadi sebagai tidak masuk akal dan mendedahkan “kejahilannya” terhadap sejarah.

"Sim membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab ini pada bulan kebangsaan. Adakah beliau tidak tahu bagaimana Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan bagaimana Malaysia dibentuk?” soalnya.

“Kemerdekaan Tanah Melayu dicapai melalui satu siri perjuangan, rundingan, dan usaha yang sukar. Ini adalah hasil usaha dan perjuangan bersama seluruh rakyat. 

“Ketidaktahuannya dan penyelewengannya terhadap fakta sejarah kemerdekaan kita adalah menjengkelkan."

Jacob Lee

Sim dalam ucapannya malam tadi berkata kemerdekaan negara ini sejak 1957 tidak lengkap selagi Palestin tidak bebas dan merdeka.

Dia menggesa seluruh rakyat Malaysia mendukung kemerdekaan Palestin kerana perkara yang berlaku di negara Timur Tengah itu isu kemanusiaan.

“Dari 1948 hingga tahun ini, sudah 76 tahun, biarlah generasi kita, zaman kita, masa kita ini, kita akan lihat dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka,” katanya.

Dalam kenyataan berbahasa Cina hari in, Lee juga mempersoalkan sama ada kenyataan Sim itu mewakili pendirian partinya DAP. 

“Adakah DAP bercadang untuk membentuk semula sejarah penubuhan Malaysia dengan memutarbelitkan fakta sejarah seperti ini?” soalnya.

Perhimpunan malam tadi diadakan bagi menyatakan kebersamaan Malaysia terhadap perjuangan Palestin, beberapa hari pembunuhan tokoh pejuang Palestin Ismail Haniyeh di Iran.

Kumpulan bersenjata Hamas menyalahkan Israel dan Amerika Syarikat dan berikrar untuk membalas dendam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS