Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid mohon maaf tersasul sebut 'hidup Israel'
Diterbitkan:  Aug 5, 2024 1:11 PM
Dikemaskini: 5:46 AM

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memohon maaf selepas secara tidak sengaja melaungkan sokongan untuk Israel semasa Himpunan Pembebasan Palestin yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi.

Katanya, kesilapan itu berlaku ketika dia penuh bersemangat menyatakan dukungan terhadap isu perang yang melanda di Timur Tengah.

"Dalam keghairahan dan rasa penuh semangat tadi, saya memohon maaf atas kekhilafan saya dalam berbicara.

"Namun hati yang tulus ikhlas ini tetap membara untuk melaungkan bebas Palestin, hidup Palestin, dan merdeka Palestin," katanya di Facebook.

Malam tadi, Ahmad Zahid dalam ucapannya di hadapan kira-kira 10,000 hadirin mahu mengatakan bahawa Malaysia akan terus memberikan sokongan kepada Palestin.

Namun, dia tersilap dengan menyebut Israel.

"Insya-Allah rakyat Malaysia pelbagai agama dan kaum akan terus memberi dukungan kepada perjuangan rakyat Israel, insya-Allah," katanya.

Kesilapan itu disambut dengan jeritan orang ramai ketika mereka cuba membetulkan kesilapan Ahmad Zahid, dan seorang memberitahu yang dia melakukan 'typo'.

Ahmad Zahid juga tersilap menyebut "hidup Israel" ketika mengetuai laungan selepas itu, sebelum membetulkannya dengan menyebut "hancur Israel" dan "hidup Palestin".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS