Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada masalah jika PH, DAP bantu kempen Umno, kata Awie

PRK NENGGIRI l Isu kerjasama Umno dan DAP yang dimainkan pihak lawan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri bukan ancaman kepada calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Malah, katanya, dia juga tidak mempunyai masalah dengan kehadiran pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang turun bagi membantu kempennya.

Namun, Mohd Azmawi yang juga dikenali sebagai Awie mengakui isu yang dimainkan lawan itu merupakan cabaran yang harus ditanganinya.

“Isu kerjasama Umno dan DAP atau Umdap itu cabaran bagi saya dan saya kena menyakinkan pengundi di Nenggiri agar menerima saya, sebab pengundi di sini memilih wakil kepada mereka yang boleh laksana tanggungjawab.

“Saya kena fokus untuk dapat seramai mana pengundi itu.

Saya bukan tak peduli soal persepsi terhadap (Umno, DAP) tapi bagi saya kalau fikir benda lain akan hilang fokus saya.

"Sebab saya ada masa 14 hari untuk kempen yakinkan pengundi menerima saya,”katanya  ketika berkempen di Bertam Lama, Gua Musang.

Sebelum ini, ada pihak yang mendakwa bahawa Pengarah PRK DUN Nenggiri, Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan berkata adalah lebih baik DAP tidak turun berkempen kerana kawasan ini adalah majoriti Melayu.

Bagaimanapun Tengku Razaleigh menafikan dakwaan itu dan menegaskan sebagai sebuah negara demokrasi siapa sahaja boleh turun ke Nenggiri.

Sebelum ini, DAP turut menyatakan kesediaannya untuk turun membantu kempen calon BN di Nenggiri.

Mengulas lanjut, Awie berkata tidak boleh menghalang mana-mana pemimpin PH termasuk DAP untuk membantu kempennya di Nenggiri dan kehadiran mereka mungkin boleh memberi nilai tambah.

“Ini demokrasi, negara Malaysia ini tiada yang nak halang-halang, siapa sahaja pemimpin boleh datang bantu kempen. Saya rasa mereka lebih faham dengan keadaan di Nenggiri 87 peratus pengundi Melayu.

"Kita tak ada halangan nak datang bantu kempen, mana tahu ia memberi kelebihan, kita berusaha selebihnya kita serah kepada  Allah,”katanya.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon BN Mohd Azmawi dan calon PAS, Mohd Rizwadi Ismail.

Proses pengundian bagi PRK DUN Nenggiri akan diadakan pada 17 Ogos nanti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS