Paling Popular
Terkini

Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail membayangkan bahawa dia adalah calon yang "sempurna" dipertaruhkan PN untuk pengundi kawasan itu.

Bercakap ketika berkempen malam tadi, Rizwadi yang menggelarkan dirinya sebagai "Ustaz Wadi" berkata dia merupakan wakil kepada PN yang bertanding atas tiket PAS.

"Serupo penceramah tadi oyak (beritahu) lah, nak orang lagu mana lagi. (Nak cakap lebih) tapi takut angkat ekor sendiri (pula).

"Hak tu ambo (saya) serah pada pimpinan kecek (cakap)," katanya ketika berucap di Bertam Baru, Gua Musang, malam tadi.

Mohd Rizwadi dipertaruhkan PAS bagi mempertahankan kemenangan kerusi DUN Nenggiri yang dimenangi calon Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Dia akan berdepan cabaran calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang dipertaruhkan bagi merampas kembali kerusi berkenaan.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan dua penjuru antara PAS dan BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 3 Ogos sebagai hari penamaan calon manakala 17 Ogos hari mengundi.

Sementara itu, Rizwadi berkata dia bukan asing buat warga Bertam dan juga masyarakat Nenggiri yang secara keseluruhannya cukup mengenalinya.

"Ore Bertam tahu ambo Ustaz Wadi ada berapa minit jah (di) rumah..ambo wakil PN (bertanding) atas lambang bulan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS