mk-logo
Berita
SPRM tahan 3 individu disyaki terima rasuah sembunyi dokumen
Diterbitkan:  Aug 3, 2024 7:40 PM
Dikemaskini: 11:40 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu kerana disyaki menerima rasuah bagi menyembunyikan dokumen penting melibatkan syarikat industri minyak sawit, semalam.

Menurut sumber, dua lelaki dan seorang wanita berumur 40 hingga 50-an itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira 10 malam hingga 1 pagi ketika hadir memberi keterangan.

Sumber berkata wanita yang bertugas sebagai pengurus akaun ditahan kerana disyaki terlibat dengan transaksi penerimaan rasuah.

"Dua lelaki yang merupakan setiausaha syarikat ditahan kerana disyaki menerima rasuah bagi menyembunyikan beberapa dokumen penting berkaitan Call Option Agreement (COA).

“Dokumen ini dipercayai disembunyikan oleh setiausaha syarikat untuk melambatkan pihak kedua daripada melaksanakan perjanjian COA yang telah ditandatangani pada Mac 2021 dan melengahkan penghakiman kes saman sivil yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada Oktober 2022," katanya.

Menurut sumber, wanita berkenaan kini direman selama tiga hari hingga Isnin, manakala dua lelaki direman selama lima hari hingga Rabu depan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Norainina Shariful Anuar setelah permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS