Kemelut dan ketegangan di antara dua parti komponen PN nampaknya sudah selesai seperti didakwa setiausaha agung gabungan itu hari ini.
Malah menurut Hamzah Zainudin ketegangan yang terjadi di antara PAS dan Gerakan tidak lebih sekadar kocakan di dalam cawan.
Dia juga menganggap kemelut tersebut sebagai sesuatu yang lumrah dalam hubungan sesebuah keluarga.
"Kocakan air dalam cawan itu biasa dalam hal ehwal keluarga.
"Semuanya telah selesai menerusi musyawarah adik-beradik," katanya secara berlapik melalui media sosial awal petang ini.
Mengiringi hantaran tersebut ialah gambar sekumpulan pemimpin kanan PN - termasuk Hamzah sendiri - yang berbaju hijau sedang mengadakan perbincangan di Gua Musang.
Turut kelihatan di situ ialah Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man serta setiausaha agung parti terbabit Takiyuddin Hassan. Tidak ketinggalan Presiden Gerakan Dominic Lau.
Mereka berada di Gua Musang untuk memberikan sokongan kepada proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil Ninggiri yang akan berlangsung dua minggu lagi.
Kemelut terbuka di antara PAS dan Gerakan melibatkan isu pembabitan syarikat arak dalam program menyalurkan dana kepada sekolah Cina baru-baru ini.
Kedua-dua pihak menzahirkan pandangan berbeza sehingga mendorong beberapa pemimpin PAS secara terbuka mengkritik Gerakan, bahkan mempersilakan parti itu jika mereka mahu keluar PN.
Malah beberapa pemimpin dan media PAS menyelar Gerakan dengan menganggap parti berkenaan "senada dengan DAP".
Pada awalnya teguran PAS kepada Gerakan dinyatakan oleh ketua penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari, sebelum diikuti Tuan Ibrahim sendiri, serta Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.
Tidak ketinggalan salah seorang Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah.
Untuk rekod hubungan di antara PAS dan Gerakan sempat memanas semasa pilihan raya negeri diadakan di Pulau Pinang pada 2023 yang menyaksikan Lau bertanding di salah satu kerusi dianggap berpotensi dimenangi PAS.