Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Seorang wanita maut dalam runtuhan rumah selepas dirempuh sebuah treler yang terbabas di Kampung Ketapang Hilir di Pekan, Pahang awal pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian berkenaan pada 4.46 pagi.

Beliau berkata sebanyak 16 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan serta Peramu digerakkan ke lokasi kejadian.

Ismail berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa dalam runtuhan dilakukan sebelum pihaknya menemukan mangsa di bahagian bawah hadapan treler itu.

"Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tiga mangsa termasuk pemandu treler mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS