Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Henti manipulasi isu garis panduan sumbangan pada sekolah'

Kementerian Pendidikan (KPM) mengingatkan semua pihak supaya berhenti daripada terus memanipulasi isu berkaitan penganjuran program dan penyaluran sumbangan kepada sekolah.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata ini kerana pihaknya beranggapan isu terbabit telah selesai dan KPM menghormati keputusan jemaah menteri yang mengekalkan garis panduan sedia ada.

“Saya rasa isu ini telah selesai dan kita kekal bersama dengan keputusan jemaah menteri (mengekalkan garis panduan bagi penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah).

“Jadi, saya harap ia tidak berbangkit lagi dan kita tumpukan kepada isu pembangunan pendidikan yang lebih utama ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Bola Sepak untuk Sekolah Fifa dan Kempen Bola Sepak Wanita Fifa di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Permai di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk S Sivasundaram.

Kontroversi berkenaan sumbangan kepada sekolah tercetus bulan lepas apabila Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu menyertai acara kutipan dana sebuah sekolah Cina yang menerima sumbangan syarikat minuman keras.

Sehubungan itu, KPM memaklumkan jemaah menteri bersetuju untuk mengekalkan garis panduan sedia ada bagi penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah pada 26 Julai lepas.

Panduan itu antara lain menggariskan aktiviti sumbangan dana kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS