Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Parti Sedar Rakyat 'mengaku kalah' sebelum berjuang di Nenggiri

PRK NENGGIRI | Pada mulanya PRK DUN Nenggiri dijangka akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabil pemimpin Parti Sedar Rakyat (Sedar) hadir ke pusat penamaan calon di Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang pagi tadi.

Kehadiran Presiden Sedar Othman Abdillah membuatkan wartawan tertunggu-tunggu siapakah yang bakal dipertaruhkan parti itu untuk mencabar calon BN dan PAS.

Namun, sehingga proses penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi, "Sedar mengaku kalah sebelum bertanding" apabila menyatakan sebab untuk tidak menghantar calonnya.

Menurut Othman, tiada peluang untuk menang jika mereka bertanding di DUN Nenggiri.

“Kita putuskan tarik diri selepas melihat kekuatan penyokong PN dan BN.

"Kita sedar kalau kita masuk bertanding pun peluang nak menang tipis," katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di Gua Musang, hari ini.

Othman Abdullah

Hanya calon BN dan PN yang menyerahkan borang pencalonan pagi tadi.

Sebelum ini Sedar menyatakan hasrat akan bertanding dalam PRK Nenggiri jika kerusi berkenaan hanya ditandingi oleh PN dan BN.

Othman tiba bersama beberapa penyokongnya di perkarangan Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang sekitar jam lapan pagi, namun berlalu pergi beberapa minit kemudian.

"Awalnya calon kita sudah siap sedia untuk bertanding dan calon kita anak tempatan Nengggiri.

"Walaupun kita tak bertanding kali ini, pilihan raya akan datang kita tetap akan masuk,”katanya lagi.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani manakala PN diwakili Mohd Rizwadi Ismail.

Mohd Rizwadi adalah bekas timbalan ketua Pemuda PAS Gua Musang sebelum menyertai Bersatu hanya beberapa hari sebelum penamaan calon.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS