Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menjelaskan dia tidak berniat untuk menyebut nama Bersih sebagai antara pihak yang tidak hadir ke sesi libat urus berkenaan pelesenan platform media sosial dan perkhidmatan mesej internet.
Malah Fahmi berkata kumpulan reformasi pilihan raya itu sebagai keluarganya sendiri memandangkan dia terlibat dengan mereka sejak dari awal.
"Bersih seperti keluarga...Saya ada berhubung dengan pengerusi Bersih (Muhammad Faisal Abdul Aziz) dan kami bertukar fikiran.
"Saya maklumkan kepadanya yang asalnya saya tidak berhasrat untuk namakan Bersih. Tapi sebab ada rakan media yang bertalu-talu tanya tentang kehadiran Bersih, jadi saya sebut," katanya kepada pemberita hari ini.
"Kita akan uruskan isu ini dengan baik dan tertib. Apa yang penting, kita nak semua platform media sosial faham Malaysia adalah negara berdaulat dengan undang-undang yang perlu dipatuhi dan tiada pengecualian untuk mereka," katanya lagi.
Terdahulu, Bersih menyuarakan kekecewaan terhadap Fahmi kerana memburukkan mereka yang tidak hadir pada sesi libat urus itu.
Mereka kemudian mengundang Fahmi untuk menyertai forum awam berkenaan isu tersebut. Tidak jelas setakat ini sama ada Fahmi setuju menerima undangan itu atau tidak.
Ia selepas Fahmi berkata sebanyak 79 pertubuhan telah dijemput untuk sesi perbincangan itu tetapi hanya 27 yang hadir.
Selain CIJ, mereka yang hadiri itu termasuk Majlis Peguam, Artikel 19, Suara Rakyat Malaysia, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia.
Muda dan Gerakan Media Merdeka antara yang tidak hadir.
'Dakwaan Wan Saiful tak betul'
Sementara itu, Fahmi menafikan dakwaan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang pembangkang tidak dilibatkan dalam proses membuat keputusan untuk melakanakan pelesenan itu.
"Tak betul, kita sudah adakan sekurang-kurangnaya tiga kali (perbincangan) dan saya difahamkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membuka proses libat urus setelah beberapa perkara diputuskan secara dalaman, dari segi proses dan garis masa.
"Ini akan diumumkan mungkin pertengahan minggu depan oleh SKMM," katanya lagi.
Semalam, Wan Saiful menggesa kerajaan untuk melibatkan PN dalam rancangan penubuhan majlis media serta kawal selia terhadap platform media sosial dan perkhidmatan mesej internet.
Wan Saiful berkata, ia perlu dilakukan ekoran rasa tidak percaya terhadap kerajaan dalam soal berkaitan kebebasan bersuara.