Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Berkabung atas kematian Haniyeh, Israel tahan imam Masjid Al-Aqsa

Polis Israel pada Jumaat menahan imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Ekrima Sabri kerana berkabung atas kematian ketua politik Hamas, Ismail Haniyeh, lapor Agensi Anadolu.

Hamas dan Iran menuduh Israel bertanggungjawab atas pembunuhan Haniyeh pada Rabu, tetapi Tel Aviv belum mengesahkan atau menafikan keterlibatannya.

Saksi mendakwa polis Israel menyerbu rumah imam itu di Baitulmaqdis Timur dan menahannya, lapor agensi itu lagi.

Selepas solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa, Sabri mengetuai solat jenazah ghaib untuk Haniyeh.

"Penduduk Baitulmaqdis dan sekitarnya dari mimbar Masjid Al-Aqsa yang diberkati berkabung atas syahidnya Ismail Haniyeh," katanya dalam khutbah.

Selepas khutbah, polis Israel menjalankan siasatan sama ada kenyataan itu merupakan "hasutan" dan akan bertindak sewajarnya.

Imam berusia 85 tahun itu pernah ditahan beberapa kali oleh tentera Israel dan dilarang memasuki Masjid Al-Aqsa selama beberapa bulan.

Sabri adalah pengkritik tegar terhadap pendudukan Israel di wilayah Palestin yang berlanjutan selama beberapa dekad.

Beliau pernah memegang jawatan mufti Baitulmaqdis dan wilayah Palestin dari 1994 hingga 2006.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS