mk-logo
Berita
'Adiwira ejen Israel' - BDS gesa boikot Marvel, Disney
Diterbitkan:  Aug 2, 2024 8:38 PM
Dikemaskini: 12:38 PM

Boycott, Divestment, Sanctions for Malaysia (BDS Malaysia) menggesa orang ramai memberi tekanan terhadap Marvel Studios dan syarikat induk Disney supaya mengeluarkan watak dalam filem Captain America keempat dan terbaru yang dijadualkan untuk tayangan tahun depan.

Kumpulan itu merujuk filem Captain America yang akan datang: Brave New World dan watak Ruth Bat-Seraph, juga dikenali dengan alter egonya, Sabra - digambarkan dalam buku komik asal seorang ejen Mossad, organisasi perisikan Israel dan juga pegawai polis di Tel Aviv.

BDS Malaysia mengetengahkan kempen boikot oleh kumpulan Palestin yang telah menyebabkan perubahan tertentu diperkenalkan kepada latar belakang watak dalam filem itu.

"Kita telah bersama-sama memenangi satu kemenangan separa yang penting.

"Namun begitu dengan mengekalkan watak Ruth Bat-Seraph dalam filem, Disney dan Marvel masih bersubahat dalam mengagungkan genosid oleh Israel dan aparteid terhadap penduduk asli Palestin.

"Kita mesti tingkatkan taktik kita sehingga watak itu digugurkan untuk kebaikand,” kata kumpulan itu pada satu kenyataan.

Menurut kenyataan akhbar rasmi, watak Ruth Bat-Seraph yang dilakonkan aktres Shira Haas kini merupakan pegawai atasan kerajaan AS - tidak seperti gambaran asal dalam buku komik, yang pertama kali diperkenalkan pada 1980-an.

Aktivis pro-Palestin dilapor telah memulakan tindakan boikot sejak 2022 apabila watak Bat-Seraph dalam filem Captain America seterusnya mula dihebahkan.

Gesaan BDS Malaysia yang diperbaharui untuk memboikot Marvel Studios dan Disney ini ketika jumlah kematian terbaharu rakyat Palestin di Gaza mencecah lebih 40,000 orang termasuk 16,000 kanak-kanak sejak Oktober tahun lepas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS