Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli akademik mahu kerajaan bertegas pada Meta

Kerajaan diminta bertidak lebih tegas dalam menangani sikap pro-Zionis Meta yang bertentangan dengan polisi negara yang memihak kepada perjuangan pembebasan Palestin.

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media di Universiti Selangor, Ismail Hashim Yahaya, berkata tindakan Meta menurunkan berkali-kali hantaran Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengangkat Hamas memberi isyarat bahawa kerajaan tidak boleh lagi berlembut dengan platform itu.

“Kerajaan harus bertegas dan tidak boleh membiarkan Meta terus beroperasi tanpa sebarang tindakan.

Ismail Hashim Yahaya

“Hal ini kerana Meta semakin jelas menunjukkan polisinya bersama Israel yang jelas bertentangan dengan pendirian kita,” katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, pensyarah kanan di Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Sahul Hamid Mohamed Maiddin, pula melihat yang perkara dilakukan oleh Meta hanya menuruti polisi pusat mereka.

Buat masa ini, kata Sahul Hamid, tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan melainkan mengecam dan meminta Meta Malaysia memberikan penjelasan.

Sahul Hamid menyatakan terdapat cadangan yang lebih tegas dilakukan oleh pihak kerajaan dengan medium berkaitan Meta diketatkan regulasi operasinya kerana dasar pro-Zionis.

“Namun kita perlukan alternatif kepada Meta yang juga menguasai WhatsApp pada hari ini,” katanya.

Sahul Hamid Mohamed Maiddin

Meta menurunkan tiga hantaran perdana Anwar semalam yang mengutuk pembunuhan Ismail Haniyeh oleh rejim Zionis. Perdana menteri turut berkongsi gambar kenang-kenangan pertemuan mereka yang kemudian turut diturunkan aplikasi media sosial berkenaan.

Gambar yang diturunkan itu memaparkan Anwar bersama Ismail di Doha, Qatar pada Mei lalu.

Penurunan hantaran itu disertakan dengan kapsyen “Dangerous individuals and organisations” (individu dan organisasi berbahaya).

Semalam, Instagram yang dimiliki oleh Meta memaklumkan hantaran gambar itu diturunkan kerana mengandungi "simbol, pujian atau sokongan ke atas orang dan pertubuhan yang kami takrifkan sebagai bahaya".

Mekanisme secara automatik

Anwar dengan tegas menyelar Meta dengan memberi peringatan supaya pemilik platform media sosial itu "usah jadi bacul dan menjadi perkakas rejim zalim Zionis Israel."

Pejabat Perdana Menteri (PMO) kemudian menuntut penjelasan berhubung perkara ini dan mendesak Meta memohon maaf.

Selain Anwar ada beberapa ahli politik lain turut terkesan dengan polisi Meta ini seperti Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.

Meta memberikan alasan yang sama selepas pemimpin terbabit membuat hantaran takziah akan kematian Haniyeh.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Prof Azmi Hassan menjelaskan apa yang berlaku sekarang sebenarnya bersifat automatik kerana sistem pada media sosial itu diprogramkan oleh Meta.

Dengan tetapan itu, katanya, media sosial terbabit akan menjadi sensitif terhadap mana-mana gambar menonjolkan pemimpin Hamas yang telah dilabelkan mereka sebagai pengganas.

“Apa yang berlaku itu kerana sistem Meta itu bersifat automatik dengan memadamkan apa-apa hantaran berkaitan Hamas.

“Setelah diminta penjelasan oleh pihak kerajaan sewajarnya Meta Malaysia membuat keputusan mengikut polisi negara kita yang melihat Hamas sebagai pejuang,” katanya.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara, Noor Nirwandy Mat Noordin pula menyatakan polisi Meta jelas bertentangan dengan peradaban di negara ini.

“Demokrasi mengikut acuan dan cara pandang kita melihat Hamas sebagai organisasi sah memperjuangkan hak asasi orang Palestin sedang Meta mengikuti ketidakadilan barat yang melabel pejuang ini sebagai pengganas,” katanya.

Nirwandy pada masa sama mengiktraf ketegasan kerajaan dalam meminta penjelasan daripada Meta yang disifatkannya sebagai diplomasi media sosial.

“Meta harus segera memberikan penjelasan akan isu ini kerana jelas mereka tidak menghormati cara pandang yang berbeza dalam setiap negara yang mempunyai nilai dan tradisi tersendiri,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS