Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun Mahkota meninggal dunia
Diterbitkan:  Aug 2, 2024 12:49 PM
Dikemaskini: 6:54 AM

Adun Mahkota di Johor, Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia hari ini.

Berita sedih itu disahkan Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi sebentar tadi.

"Pemergian Dato’ Sharifah atau lebih mesra dengan panggilan Ummi amat dirasai kerana beliau merupakan seorang pemimpin yang senang didekati dan disayangi.

"Jasa dan bakti beliau untuk Johor, khususnya DUN Mahkota tidak akan dilupakan," kata Onn Hafiz.

Terdahulu Sharifah Azizah, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di Johor akibat pendarahan dalaman.

Bagaimanapun anak bongsu Nadia Abu Bakar kemudiannya menjelaskan bahawa ibunya berada dalam keadaan stabil.

“Kami bawa umi ke hospital semalam kerana dia mengalami kesukaran bernafas.

“Ia bukan disebabkan oleh pendarahan dalaman atau kegagalan organ,” katanya kepada Malaysiakini, semalam.

Sharifah Azizah memenangi kerusi DUN Mahkota pada pilihan raya negeri 2022.

Sebelum itu, dia berkhidmat sebagai Adun Penawar dari 2018 hingga 2022.

Jenazah akan dimandi dan dikafankan di hospital berkenaan selepas solat Jumaat sebelum dibawa balik untuk penghormatan terakhir di kediaman beliau, No.3 Jalan Ahmad Khan, Kluang.

Jenazah dijangka dikebumikan selepas solat asar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu, Kluang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS