Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan: Haniyeh dibunuh oleh bom diseludup di rumah tamu di Tehran
Diterbitkan:  Aug 2, 2024 9:38 AM
Dikemaskini: 1:57 AM

Pemimpin Hamas Ismail Haniyeh dibunuh oleh bom yang ditanam di rumah tamu, tempat Allahyarham tinggal di Tehran, Iran sejak beberapa bulan lalu, menurut laporan New York Times (NYT).

Laporan itu memetik tujuh pegawai Asia Barat termasuk dua di Iran, dan seorang pegawai Amerika Syarikat, yang mengesahkan perkara itu - sekali gus menyangkal dakwaan pembunuhan tersebut dilakukan menerusi serangan udara pihak Israel.

Menurut laporan itu, bom dibawa masuk dan disembunyikan di rumah itu - yang terletak di kawasan kejiranan kelas atas dan dilindungi Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) - sekurang-kurangnya dua bulan sebelum pembunuhan Rabu lalu.

Pembunuhan itu turut menghalakan perhatian terhadap kesilapan dalam aspek keselamatan dan perisikan di kawasan yang dikatakan dikawal ketat, dan sering digunakan sebagai lokasi mesyuarat rahsia dan penginapan untuk tetamu kenamaan, termasuk Ismail.

Pegawai tinggi yang enggan dinamakan yang dipetik NYT tidak tahu bila dan bagaimana bom itu dibawa masuk dan dipasang di dalam rumah itu sebelum diletupkan dari jarak jauh pada Rabu lalu.

Menurut mereka, letupan itu menjadikan bangunan bergegar dengan beberapa tingkap pecah dan sebahagian dinding luar runtuh.

NYT turut menyiarkan gambar bangunan tersebut yang memaparkan tahap kerosakannya.

Walaupun Israel belum secara terbuka mengaku bertanggungjawab terhadap pembunuhan itu, pegawai perisikan regim Zionis telah memberi taklimat kepada Amerika Syarikat dan kerajaan negara Barat yang lain berkenaan perincian operasi sebaik saja ia dilaksanakan, menurut laporan itu lagi.

Serangan bersasar

Menurut NYT, bom diletupkan pada pukul dua petang waktu tempatan di bilik yang diduduki Ismail dan seorang pengawalnya, dan kedua-duanya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berkejar ke tempat kejadian sebaik letupan berlaku.

Pemimpin Jihad Islam Palestin, Ziyad al-Nakhalah yang ada di bilik sebelah terselamat tanpa kecederaan, kata dua pegawai Iran, sambil menambah ia menunjukkan serangan itu memang disasarkan ke atas Ismail.

Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei diberi penerangan sebaik saja insiden berlaku dan beberapa jam kemudian memanggil mesyuarat Majlis Keselamatan Tertinggi Negara, di mana dia mengeluarkan arahan agar serangan balas dilakukan terhadap Israel.

Dua pegawai Iran menyifatkan pembunuhan itu menggunakan taktik sama, iaitu senjata robot AI dengan kawalan jauh yang digunakan agensi perisikan Israel, Mossad untuk membunuh saintis nuklear Iran, Mohsen Fakhrizadeh di Tehran pada 2020.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS