Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dewan Negara lulus 27 RUU lepas lapan hari bersidang

Persidangan Dewan Negara melabuhkan tirai hari ini setelah bersidang selama lapan hari (dua minggu) bermula 22 Julai lepas yang menyaksikan 27 rang undang-undang (RUU) diluluskan.

Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah berkata sepanjang persidangan Dewan Negara kali ini, kesemua RUU yang dibawa dari Dewan Rakyat telah dipertimbang dan diluluskan.

"Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat khususnya senator yang mengambil bahagian membahaskan rang undang-undang yang dipersetujukan.

"Penglibatan yang sangat aktif ini membanggakan dan komitmen ini meningkatkan kredibiliti dewan yang mulia ini," katanya ketika ucapan penutupan persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 Dewan Negara hari ini sebelum menangguhkannya ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama baik dalam memastikan perjalanan mesyuarat kali ini berjalan lancar selepas dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-21 semasa pembukaan mesyuarat itu pada 22 Julai lepas.

Pelantikannya itu adalah bagi menggantikan mendiang Datuk Mutang Tagal yang meninggal dunia pada Mei lepas.

Sepanjang persidangan itu, Dewan Negara meluluskan RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024, RUU Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024, RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2024, RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2024, RUU Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024.

Turut diluluskan RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2024, RUU Keterangan (Pindaan) 2024, RUU Sumpah dan Ikrar (Pindaan) 2024, RUU Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Pindaan) 2024 dan RUU Angkatan Tentera (Pindaan) 2024.

Selain itu, RUU Audit (Pindaan) 2024, RUU Timbang Tara (Pindaan) 2024, RUU Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan (Pindaan) 2024, RUU Kastam (Pindaan) 2024, RUU Eksais (Pindaan) 2024, RUU Zon Bebas (Pindaan) 2024, RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2024 dan RUU Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2024, RUU Perubatan (Pindaan) 2024.

Juga diluluskan RUU Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024, RUU Pengisytiharan suatu Kawasan dalam Daerah Bintulu menjadi suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024, RUU Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) 2024 dan RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024.

Selain itu, RUU Perlindungan Data Peribadi (Pindaan) 2024, RUU Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024, RUU Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 serta RUU Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024.

Persidangan kali ini turut menyaksikan satu usul daripada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang memberi penerangan pendirian Malaysia berhubung solidariti bersama rakyat Palestin dan mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh.

Persidangan kali ini menyaksikan seorang Senator baharu mengangkat sumpah jawatan iaitu Datuk Salehuddin Saidin yang merupakan bekas Ketua Unit Kes Terperingkat/Kepentingan Awam Jabatan Peguam Negara.

Berdasarkan takwim di laman sesawang Parlimen, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 bagi Dewan Negara dijadual bermula pada 2 Dis hingga 19 Dis depan (12 hari).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS