Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Perhimpunan solidariti Ahad ini kutuk pembunuhan Haniyeh - PM

Perhimpunan solidariti bersama rakyat Palestin yang bakal berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil Ahad ini adalah antara tindakan bagi menyampaikan mesej bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh dan menyokong Palestin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Mesyuarat Jemaah Menteri telah mengadakan perbincangan dan mengeluarkan kenyataan yang tegas berhubung isu Palestin.

"Kita sudah berbincang dalam Kabinet, kita sudah membuat kenyataan tegas dan kita akan ada perhimpunan hari Ahad ini. Saya ingat ini sudah cukup untuk kita menyampaikan mesej," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat sempena Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2024 di Masjid Negara hari ini.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata satu perhimpunan solidariti bersama rakyat Palestin akan diadakan Ahad ini selepas solat Maghrib dengan dihadiri oleh Perdana Menteri.

Majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat itu, yang diadakan sejurus solat Asar, dihadiri kira-kira 1,000 orang termasuk warga Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat yang berlangsung hampir sejam itu dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.

Perdana Menteri kemudian meluangkan masa menyantuni jemaah sebelum berangkat pulang pada kira-kira 6 petang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS