Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Plastik sekali guna kini dilarang dalam mesyuarat, majlis rasmi kerajaan
Diterbitkan:  Aug 1, 2024 6:40 PM
Dikemaskini: 10:40 AM

Penggunaan plastik sekali guna kini dilarang dalam semua mesyuarat dan majlis rasmi kerajaan, menurut pekeliling yang dikeluarkan bulan lalu dan dibentangkan kepada kabinet semalam.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata surat pekeliling berkenaan perkara itu berkuat kuasa pada 12 Julai lalu.

Larangan itu meliputi kementerian dan jabatan persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa berkanun persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan serta syarikat berkaitan kerajaan sebagai susulan kempen yang mula diperkenalkan pada 2019.

Justeru katanya, pihak berkenaan dikehendaki menggunakan botol kaca atau menyediakan jag air, menggantikan pembalut plastik (plastic wrap) pada pinggan mangkuk dengan penutup makanan yang boleh diguna semula, tidak menyediakan pinggan mangkuk atau kutleri bersifat sekali guna, mengelakkan penggunaan straw plastik dan menyediakan water dispenser untuk kemudahan isian semula.

"Tindakan-tindakan yang telah dan sedang berjalan ini adalah bertepatan dengan pelaksanaan pelbagai usaha Kerajaan untuk beralih ke ekonomi rendah karbon selaras dengan aspirasi pelepasan GHG sifar bersih negara pada tahun 2050.

"Selain memenuhi sasaran perubahan iklim negara, usaha -usaha ini diharap akan dapat memperbaiki sedikit sebanyak ekspektasi pelbagai pihak terhadap isu perubahan iklim seterusnya memastikan Malaysia tidak ketinggalan dan selari dengan perkembangan serupa di peringkat negara dan antara bangsa," katanya dalam kenyataan.

Kesan Rumah Hijau

Malaysia adalah antara 10 penjana sisa plastik teringgi di dunia.

Dianggarkan sembilan bilion tan plastik digunakan rakyat Malaysia setiap tahun, dan kebanyakannya dibuang di tapak pelupusan sampah atau laut.

Sebahagian besar daripadanya adalah plastik sekali guna seperti pembungkusan, yang mana rakyat Malaysia direkodkan menggunakan 16.8kg setiap seorang pada 2022.

Penyelidik meramalkan sisa plastik boleh menyumbang kepada kira-kira 19 peratus gas rumah hijau di seluruh dunia menjelang 2040.

Pelbagai dasar telah dilaksanakan untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, termasuk mengharamkan penyedut minuman plastik di Selangor dan mengenakan bayaran untuk beg plastik di beberapa negeri.

Bagaimanapun, pengkritik berpendapat pelaksanaan dan penguatkuasaan langkah tersebut tidak konsisten.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS