Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS pula tuntut k'jaan batal kerjasama dengan GIP
Diterbitkan:  Aug 1, 2024 5:53 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

PAS menegaskan adalah tercela dan tidak bermaruah sekiranya kerajaan masih meneruskan cadangan usahasama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dengan syarikat BlackRock susulan pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.

Setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan berkata Putrajaya harus segera menghentikan sebarang bentuk kerjasama dengan entiti yang mempunyai kaitan dengan Blackrock.

Katanya syarikat itu secara jelas terlibat dalam pembiayaan dan persenjataan kepada rejim haram Zionis Israel bagi melakukan pembunuhan, genosid dan jenayah perang yang terkutuk terhadap penduduk Palestin.

"Pemergian Ismail Haniyeh adalah suatu kehilangan besar terhadap umat Islam seluruhnya, namun ia tidak sesekali akan mematahkan semangat juang para pencinta bumi al-Quds untuk sepanjang zaman.

"PAS menyeru kerajaan segera mengambil langkah diplomatik ke arah kemerdekaan sebuah negara Palestin yang berdaulat, di samping memberikan tekanan antarabangsa untuk menghalang Israel daripada meneruskan kekejaman dan jenayah perang terhadap rakyat Palestin," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim turut menggesa kerajaan membatalkan penjualan majoriti saham MAHB kepada Global Infracture Partners (GIP) yang bakal dikuasai oleh BlackRock.

Wakil rakyat PKR itu juga turut menegaskan bahawa Malaysia perlu menghentikan sebarang bentuk kerjasama secara langsung atau tidak langsung dengan entiti yang berkait rapat dengan rejim Zionis.

Takiyuddin juga memaklumkan PAS akan menghantar tiga wakilnya bagi memberikan penghormatan terakhir dan menyertai pengebumian jenazah Ismail yang dijadualkan berlangsung di Doha, Qatar, esok.

Wakil tersebut, katanya, terdiri daripada Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi; Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, dan Ahli parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman.

"Bagi menzahirkan solidariti dan dukungan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin, PAS dengan ini mengesahkan akan menghantar wakil rasmi bagi memberikan penghormatan terakhir dan menyertai upacara pengebumian jenazah Ismail Haniyeh," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS