Mahkamah Tinggi di Ipoh hari ini menetapkan 5 Sept depan untuk mendengar permohonan jaminan agar dibebaskan sementara menunggu perbicaraan kes seorang pegawai kanan polis, yang didakwa membunuh seorang pelajar sekolah dengan melanggar motosikal yang ditunggang pelajar itu.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preetdi menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memohon satu tarikh bagi memfailkan hujahan balas untuk permohonan berkenaan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memberitahu mahkamah kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan telah memfailkan hujahan bagi permohonan itu semalam, dan Buphindar kemudian mengarahkan hujahan balas difailkan dalam masa dua minggu.
Semasa sebutan kes itu pada 1 Julai lepas Bhupindar telah mengarahkan pihak pendakwaan dan pembelaan untuk memfailkan hujahan masing-masing.
Disember lepas Mohd Nazri Razak, 44, didakwa atas pertuduhan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di sini, antara 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari pada 15 Dis.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.
Pegawai polis berpangkat DSP itu kemudiannya memfailkan permohonan jaminan agar dibebaskan sementara menunggu perbicaraan mengikut Seksyen 388 Kanun Acara Jenayah di Mahkamah Tinggi.
Pada 14 Mei lepas Mohd Nazri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, dan Hakim Bhupindar Singh menetapkan perbicaraan kes itu selama 30 hari bermula 4 Nov ini hingga 17 Jan tahun depan.
Pada prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Afzainizam, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin Hui, manakala tertuduh diwakili peguam Jacky Loi Yap Loong, Lim Chi Chau, Lim Jin Wen dan Cindy Wong.
Turut hadir peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Amira Najwafitri Amir Arif.
- Bernama