Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan rayuan akhir bekas menteri Sabah, Peter Anthony terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 kerana memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan, panel tiga hakim yang diketuai oleh Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan untuk menangguhkan keputusan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Turut bersidang sama adalah Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Azmi Ariffin. Mereka kemudian menetapkan 16 Ogos ini untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh keputusan terhadap Peter, 53.
Penghakiman itu akan menentukan sama ada Peter yang juga presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) boleh bertanding atau hilang kelayakan sebagai calon pada pilihan raya akan datang.
Mengikut Perkara 48(1)e Perlembagaan Persekutuan, mana-mana individu yang telah disabitkan oleh mahkamah, dihukum penjara minimum satu tahun atau didenda melebihi RM2,000 dan masih belum menerima pengampunan atau dibatalkan sabitannya, tidak boleh menjadi calon pilihan raya.
Adun Melalap itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 18 April 2023 yang mengesahkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 26 Mei 2022 yang sabit dan menghukumnya.
Terdahulu, peguam Nicholas Kow yang mengetuai pasukan pembelaan berhujah, pertuduhan terhadap Peter adalah cacat kerana terdapat dakwaan bahawa SPRM memaksa saksi untuk memberi keterangan.
Katanya, saksi utama Mohd Shukur Mohd Din membuat laporan polis berhubung dakwaan itu pada 9 Ogos 2018.
Peguam itu memberitahu mahkamah bahawa laporan Shukur menjelaskan dia tidak bersetuju dengan bahagian kenyataannya yang direkodkan SPRM setahun sebelum ini.