Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan anjur himpunan solidariti Palestin Ahad ini

Kerajaan akan menganjurkan perhimpunan solidariti Palestin pada Ahad (4 Ogos) di Kuala Lumpur.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ini bagi menunjukkan kepada masyarakat antarabangsa sokongan rakyat Malaysia dalam isu itu.

“Kita insyaAllah akan jemput juga para senator dan juga ahli Dewan Rakyat semua tanpa mengira parti untuk hadir dalam himpunan solidariti ini,” katanya pada sidang media di kementeriannya di Putrajaya petang ini.

Perhimpunan itu akan diadakan pada pukul 8 malam di Axiata Arena di Bukit Jalil.

Fahmi turut mengulas mengenai penurunan hantaran media sosial berkaitan Hamas di Instagram dan Facebook, mengatakan bahawa dia sedang menunggu penjelasan daripada Meta.

"Saya telah meminta supaya penjelasan diperoleh daripada pihak Meta kenapa hanya posting-posting ataupun kandungan yang dimuat naik oleh di akaun rasmi perdana menteri yang disasar," katanya.

Awal hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengecam Meta kerana menurunkan tiga hantaran di kedua-dua platform media sosial berkenaan, di mana dia mengecam pembunuhan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh.

Fahmi berkata, siaran itu mungkin telah dialih keluar sama ada secara automatik atau berikutan aduan daripada akaun lain.

Dia berkata, catatan serupa yang dibuat oleh Bernama Radio juga telah dialih keluar.

Sehubungan dengan pengebumian Ismail, Fahmi berkata bahawa kerajaan akan menghantar wakil ke pengebumian di Qatar hari ini.

"Jemaah Menteri tidak dapat menghantar wakil ke pengebumian Ismail Haniyeh kerana ia diadakan hari ini, jadi tak sempat, tapi akan ada wakil, iaitu Malawakil.

"Pengebumian akan dilakukan di Qatar, Malawakil akan hadir mewakili pihak kerajaan," katanya.

Semalam, Ismail dibunuh di Tehran, Iran.

Al Jazeera melaporkan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran berkata bahawa Ismail telah dibunuh bersama salah seorang pengawal peribadinya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS