Tertarik pada slogan PAS Untuk Semua dan gaya pimpinan Abdul Hadi Awang menjadi antara punca bekas pengerusi MIC Negeri Sembilan "berhijrah" ke parti baru.
Menurut L Manickam selain gaya pimpinan Abdul Hadi, dia juga tertarik dengan pendekatan dibawa Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat, N Balasubramaniam.
"Ada hikmah di sebalik hijrah. Saya telah berhijrah ke bulan tanpa menggunakan roket.
"Bagaimana dengan saudara dan saudari. Dialu-alukan untuk turut serta jika sesiapa berminat untuk bersama," tulisnya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Lazimnya dalam politik domestik, roket sering dirujuk kepada DAP yang kini menjadi musuh ketat PAS.
Sebelum ini Manickam ialah pengerusi MIC Negeri Sembilan, selain menjadi Adun bagi Jeram Padang (dalam kawasan parlimen Jempol) erta exco negeri berkenaan.
Dalam pilihan raya negeri pada Ogos tahun lalu, dia tidak dicalonkan di Jeram Padang sebaliknya BN menamakan Mohd Zaidy Abdul Kadir untuk bertanding di situ.
Mohd Zaidy memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 693 undi.
Manickam kemudian mengumumkan langkahnya keluar dari MIC kira-kira dua bulan kemudian.
Kata Manickam yang dipetik Sinar Harian, dia menyertai PAS melalui DHPP kira-kira dua minggu lalu iaitu semasa sayap parti terbabit bermesyuarat.
"Saya telah menerima kad keahlian pada hari yang sama sebelum dilantik sebagai AJK (DHPP) Pusat dan Pengerusi Tetap DHPP Negeri Sembilan," katanya.
Manickam juga menganggap PAS adalah parti yang terbaik buatnya ketika ini untuk meneruskan khidmat kepada orang ramai.
Dia juga yakin PAS sebuah parti yang mantap lagi kukuh, selain diterima oleh semua orang.
"Saya juga sudah selesa dengan PAS sebab MIC sudah bersama parti ini dahulu semasa Umno bekerjasama dalam Muafakat Nasional," katanya lagi.