Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Malaysia dibidas sertai latihan ketenteraan bersama AS, Israel
Diterbitkan:  Aug 1, 2024 1:43 PM
Dikemaskini: 6:05 AM

Sebuah kumpulan pro-Palestin tampil membidas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kerana mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan maritim antarabangsa (Rimpac), bersama negara seperti Israel dan Amerika Syarikat.

Menurut NGO Gegar Amerika, ini dilakukan di sebalik serangan berterusan Israel ke atas Gaza.

katanya, penyertaan Malaysia dalam latihan perang itu akan meningkatkan "keupayaan genosid" Israel.

“Rimpac bukan sahaja meningkatkan keupayaan genosid rejim Zionis, ia juga menyumbang kepada pendudukan kolonial di Pasifik oleh kuasa Barat.

“Ia juga mengancam mahu berperang dengan kuasa saingan seperti China, dan memusnahkan tanah dan perairan masyarakat Orang Asli di Hawaii,” katanya dalam satu kenyataan.

Latihan perang laut terbesar

Rimpac 2024, yang berakhir hari ini, merupakan latihan terbesar di dunia dan melibatkan 29 negara dengan 25,000 kakitangan. Latihan itu diadakan dua tahun sekali di Hawaii.

Digembar-gemburkan sebagai peluang untuk latihan bersama, latihan ini dihoskan dan ditadbir oleh Komando Indo-Pasifik Tentera Laut AS di Pearl Harbour, dengan Kor Marin AS, Pengawal Pantai AS dan Pengawal Kebangsaan Hawaii.

Pihak penganjur berkata semasa Rimpac, pasukan yang mengambil bahagian "mengintegrasikan dan menggunakan pelbagai keupayaan, daripada bantuan bencana kepada operasi keselamatan maritim, dan daripada kawalan laut kepada pertempuran perang yang kompleks."

"Tujuan latihan ini adalah untuk membina hubungan, untuk meningkatkan kebolehoperasian dan kecekapan dan, akhirnya, menyumbang kepada keamanan dan kestabilan di rantau Indo-Pasifik yang sangat penting," kata Naib Laksamana AS John Wade yang merupakan komander Pasukan Petugas Gabungan Rimpac 2024, pada sidang media pada 27 Jun lalu.

Turut menyertai latihan itu adalah kapal KD Lekiu TLDM bersama kapal perang dan tentera dari negara seperti Amerika Syarikat, Israel, Australia, New Zealand, Jerman, Perancis, Singapura, Indonesia, Brunei, Jepun dan Korea Selatan.

Tentera Laut Filipina pula hadir sebagai pemerhati.

Menjawab gesaan sebelum ini agar Malaysia tidak menyertai Rimpac 2024, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata sebarang keputusan tidak seharusnya menjejaskan kedudukan Malaysia.

"Jika kami mengikuti pendekatan yang dicadangkan, kami perlu menghentikan operasi syarikat seperti Microsoft, Google, Apple dan Facebook," katanya

Dia juga menegaskan bahawa "tiada negara lain yang lantang seperti Malaysia dalam isu Israel".

"Kami membantah setiap hari," katanya kepada pemberita pada Mei lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS