Muhammad Sanusi Md Nor tidak melihat gugurnya pemimpin Palestin Ismail Haniyeh dalam serangan Israel di Iran semalam sebagai suatu tragedi pembunuhan.
Sebaliknya kata Menteri Besar Kedah itu, aksi rejim Zionis terbabit telah menghantar Ismail ke syurga dan tokoh berkenaan akan berbahagia di sana.
“Israel tidak membunuh Syeikh Ismail, tetapi mereka telah menghantarnya ke syurga. Berbahagialah dia di sana,” katanya menerusi kenyataan media.
Tambah Adun Jeneri itu, kedudukan mulia sebegitu memang sudah dijanjikan Allah, termasuk buat para pejuang Palestin yang ikhlas membebaskan tanah ari mereka.
Pada masa sama, katanya, ada ramai lagi pejuang Palestin yang sedang menunggu giliran untuk syahid.
Sanusi juga percaya, tindakan Israel membunuh para pemimpin pejuang Palestin akan membawa padah kepada rejim terbabit kerana setiap langkah diambil akan mengundang tindak balas lebih dasyat.
“Tetapi mereka lupa, seorang Ismail Haniyeh gugur, akan lahir beratus-ratus Ismail Haniyeh,” katanya.
Semalam Haniyeh yang merupakan Ketua Biro Politik Hamas, terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di ibu negara Iran, Tehran.
Televisyen kerajaan Iran yang melaporkan kematian Haniyeh berkata, siasatan ke atas pembunuhan tersebut sedang dijalankan dan hasilnya akan diumumkan tidak lama lagi.
Haniyeh berada di Tehran untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran yang baru Masoud Pezeshkian pada 30 Julai.
Kata Sanusi tragedi semalam juga bakal memberikan cabaran getir buat Masoud.
“Ini kerana kerajaan Iran diketahui mendukung kuat perjuangan Hamas serta amat menjaga keselamatan pemimpin Palestin itu,” katanya.