Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Iran ikrar balas dendam ke atas pembunuhan Ismail Haniyeh
Diterbitkan:  Jul 31, 2024 8:46 PM
Dikemaskini: 12:46 PM

Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, berikrar untuk membalas dendam atas kematian pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.

"Penjenayah dan pengganas rejim Zionis telah membunuh tetamu kesayangan kami di dalam rumah kami dan membuat kami bersedih, tetapi ia membuka jalan untuk hukuman berat dikenakan ke atasnya," katanya seperti yang dipetik oleh media Iran.

Sementara itu di Qatar, yang menjadi perantara rundingan gencatan senjata, perdana menterinya, Mohammed Abdulrahman Al Thani mengecam pembunuhan watak utama dalam rundingan antara Hamas dan Israel.

"Bagaimana rundingan boleh berjaya apabila satu pihak membunuh di pihak yang satu lagi? Keamanan memerlukan rakan yang serius dan pendirian global menentang pengabaian nyawa manusia," katanya.

Pun begitu, penganalisis dilaporkan memberitahu New York Times bahawa peningkatan konflik di Timur Tengah belum merupakan suatu kesimpulan yang pasti.

Laporan tersebut menyebut bahawa keputusan untuk meningkatkan pertempuran terletak di tangan pembuat keputusan utama di Iran, Israel dan kumpulan Hezbollah yang berpangkalan di Lubnan.

Serangan ke atas kediaman Ismail di Tehran menjelang pelantikan presiden Iran yang baru, tidak mengubah hasrat pembuat keputusan untuk memastikan konflik terkawal.

Laporan tersebut memetik pegawai dan penganalisis AS yang berkata pihak-pihak yang berperang mempunyai banyak peluang untuk menyerang dengan cara yang akan mencetuskan konflik yang lebih luas, tetapi sentiasa memilih pilihan yang lebih terhad yang membolehkan mereka mendakwa telah melakukan tindak balas dengan berkesan tanpa mencetuskan tindak balas yang berlebihan.

‘Ismail boleh diganti’

Ia memetik pakar keselamatan Timur Tengah dari King's College London, Andreas Krieg, yang mengatakan bahawa usaha pencegahan dilakukan kedua-dua belah pihak, dan mungkin tidak berbeza kali ini.

"Semua pihak dalam 10 bulan terakhir mempunyai alasan untuk memperhebatkan konflik, dan mereka tidak melakukannya, yang menunjukkan bahawa perkiraan mereka belum dan tidak akan berubah," katanya.

Penganalisis lain, Pengarah Program Kumpulan Krisis Antarabangsa Timur Tengah dan Afrika Utara, Joost Hiltermann, berkata Ismail bukan orang Iran, dan oleh itu pembunuhannya kurang memberi kesan kepada negara itu berbanding pembunuhan pegawai Kor Pengawal Revolusi Iran di kedutaan Iran di Damsyik awal tahun ini.

Menurutnya konflik ini tidak mungkin meningkat selagi kepentingan keseluruhan Iran tidak terjejas.

Bagi Hamas, katanya, Ismail boleh digantikan sebagai pemimpin dan organisasi tersebut akan terus bertahan.

Hiltermann dan Krieg juga dilaporkan berkata pembunuhan Ismail mungkin membolehkan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mendakwa meraih kemenangan dan memberinya ruang untuk berundur di Gaza dan mungkin bersetuju dengan gencatan senjata.

"Tetapi itu hanya akan berlaku jika Netanyahu ingin mencari jalan keluar, yang dikatakan penganalisis adalah jauh dari pasti memandangkan keperluannya untuk bekerjasama dengan puak politik agresif yang menyokong gabungan pemerintahannya," menurut laporan tersebut.

Ismail dilaporkan dibunuh dalam serangan yang didakwa dilakukan Israel.

Israel masih belum memberikan sebarang komen mengenai kematian pemimpin Hamas itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS