Pengerusi Bersih Muhammad Faisal Abdul Aziz menyangkal kenyataan bekas pemimpin gabungan NGO itu, Ambiga Sreenevasan bahawa pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah "kerajaan paling diktator".
Pada masa sama, Faisal berkata dia memahami kekecewaan Ambiga berkenaan pelaksanaan reformasi yang perlahan dan sentimennya turut dikongsi pertubuhan masyarakat sivil, termasuk Bersih.
"Namun untuk menyatakan kerajaan hari ini paling diktator dilihat agak keterlaluan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Faisal kemudian membangkitkan detik-detik penahanan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) - yang sudah dimansuhkan - termasuk ketika Operasi Lalang dan era Reformasi.
Dia turut membangkitkan krisis perlembagaan 1988 yang membawa kepada pindaan undang-undang yang mengurangkan kuasa kehakiman.
"Dalam isu terbaru, bila kerajaan berhasrat untuk mengenakan undang-undang pelesenan kepada platform media sosial, Bersih sendiri menegaskan ia langkah yang berpotensi membawa kepada senjata politik dan ia tidak harus dilakukan dengan tergesa-gesa," katanya.
Pada Isnin lalu, Ambiga yang memimpin Bersih pada 2011 hingga 2013, berkata dia tidak pernah membayangkan kerajaan yang diketuai PH akan melanggar janji berkenaan pembaharuan undang-undang, termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.
Kenyataan itu susulan pengumuman kerajaan yang semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang memiliki sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini perlu mendapatkan lesen.
Mengulas lanjut, Faisal berkata mana-mana kerajaan, termasuk kerajaan semasa, boleh menjadi diktator jika masyarakat sivil tidak bersuara untuk mendesak reformasi dilaksanakan.
"Tanpa reformasi sudah pasti demokrasi akan menguncup, malah akan menjadi regresif.
"Begitu juga tanpa demokrasi ia akan menutup ruang reformasi berasaskan aspirasi suara keramat rakyat untuk dilaksanakan.
"Justeru, perjuangan menuntut reformasi dan demokrasi harus beriringan menyedari keserasian hubungan kedua-duanya yang saling memberdaya antara satu sama lain," katanya lagi.