Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Representasi Najib: Setahun tiada jawapan, bicara tangguh April 2025

Peguam Negara (AG) dijangka tidak akan memutuskan representasi Najib Razak dalam masa terdekat ini, walaupun hampir setahun ia dihantar, kata wakilnya.

Timbalan Pendakwa Raya (TPP) Mohd Ashrof Adrin Kamarul memberitahu mahkamah jenayah bahawa AG masih meneliti permohonan bekas perdana menteri untuk menggugurkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram dana syarikat SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta yang dihadapinya.

Hakim K Muniandy hari ini menyoal pihak pendakwaan berhubung status surat representasi Najib, yang dihantar pada tahun lalu itu.

Muniandy: Bagaimana dengan surat representasi?

Ashrof: Kedudukan masih sama, sehingga kini saya tidak melihat sebarang keputusan (berhubung surat representasi) dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Tetapi saya harap tarikh pengurusan kes ditetapkan sementara tempoh interim. Jika wujud sebarang perkembangan, saya akan memaklumkan mahkamah mengenainya

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menimbulkan soalan itu susulan permohonan peguam Najib untuk menangguhkan perbicaraan yang dijadualkan pada September bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram terhadapnya.

Peguam bela utamanya, Muhammad Shafee Abdullah berkata permohonan itu bagi memberi laluan kepada beberapa kes tuntutan sivil SRC yang masih berlangsung di Mahkamah Tinggi yang lain.  

Dia memetik dua lagi kes mahkamah yang sedang berjalan yang memakan sebahagian besar masa pasukannya.

Salah satunya ialah perbicaraan 15 Ogos ini mengenai saman sivil SRC terhadap Najib yang dikaitkan dengan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Satu lagi adalah hujahan lisan pada 19 Ogos berhubung kes jenayah terhadap Najib berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram RM2.27 bilion dana 1MDB.

"Kami bekerja dari 2 pagi hingga 10 malam setiap hari," kata Shafee, sambil menambah bahawa mereka benar-benar keletihan.

“Kami mohon supaya tarikh pada September ini dikosongkan, kerana kami sedang mengendalikan kes 1MDB dan juga kes SRC dalam masa yang sama.

“Bagi kes sivil SRC, alasan yang diberikan ialah kerana kes itu sudah berlanjutan agak lama, dan hanya seorang sahaja plaintif akan dipanggil. Hakim dalam kes SRC juga mahu segera menamatkan pendengaran kes itu,” kata Shafee.  

Tanpa sebarang bantahan daripada Ashrof, Hakim Muniandy kemudian menjadualkan semula perbicaraan kes SRC yang membabitkan penyelwengan RM27 juta itu ke 21 hingga 25 April dan 19 hingga 23 Mei, tahun depan.

Kes jenayah ini berbeza dengan kes rasuah RM42 juta SRC terhadap Najib, yang dia disabitkan kesalahan dan kini menjalani hukuman penjara enam tahun. Dia juga didenda RM50 juta.

Kes pengubahan wang haram SRC RM27 juta ke atas Najib telah ditangguhkan beberapa kali sejak 2019 berikutan kes jenayah tertuduh yang lain.

Pada 3 Feb 2019, Najib didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram. Dia dituduh menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM27 juta, melalui tiga akaun bank.

Bekas presiden Umno itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank, Bangunan Kumpulan Ambank, No 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Dia berdepan denda maksimum RM5 juta, penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS