Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gerakan dah jadi lidah DAP, dakwa Pemuda PAS Pulau Pinang
Diterbitkan:  Jul 31, 2024 12:46 PM
Dikemaskini: 5:41 AM

Hubungan di antara PAS dan Gerakan dilihat terus menegang di sebalik usaha pihak tertentu dalam PN mahu meredakan keadaan.

Terbaru Pemuda PAS Pulau Pinang pula tanpa berselindung mengalu-alukan tindakan Gerakan jika parti itu memilih untuk keluar daripada gabungan tersebut.

Malah Naib Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Muhammad Hafiz Alias mengkritik keras tindak-tanduk pemimpin Gerakan yang dilabelnya sebagai liabiliti dalam PN.

Dia juga mendakwa pandangan Gerakan sebenarnya senada dengan DAP dalam beberapa isu seperti arak dan judi.

"Dulu pun semasa Pakatan Rakyat, DAP macam inilah. Itu pasal (isu) judi, kita dah habaq (jelaskan) berapa kali dah.

"Gerakan ini hangpa (kalian) saja buat tak faham ka apa? Kita nak sekat orang Islam daripada buat segala perkara mungkar dan maksiat, ini memang dilarang dalam agama Islam.

"Dan (isu) judi dia (Gerakan) buat keluar kenyataan kata tak setuju dengan menteri besar Kedah, tak beri lesen perjudian di Kedah.

"Hangpa senada dengan DAP, (isu) arak, depa (mereka) senada dengan DAP, memang masalah.

"Gerakan ini dah jadi lidah DAP dah. Kalau PAS nak bersama dengan Gerakan, perangai Gerakan dah macam DAP, apa guna PAS nak berjuang dengan hangpa?” tegasnya dalam satu hantaran video di TikTok.

DHPP kian diterima ramai

Ahad lalu, Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong berkata parti itu tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan PN jika ia bermakna mempertahankan pendidikan Cina.

Oh menjawab kecaman daripada pemimpin PAS seperti ketua penerangannya Ahmad Fadhli Shaari dan timbalan presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, manakala lidah rasmi parti itu Harakahdaily menganggap pendirian Gerakan adalah sama dengan DAP.

Sementara itu, Oh hari ini menyeru semua parti komponen PN bertemu bagi merungkai kemelut yang sedang melanda.

Bagaimanapun semalam Presiden Gerakan Dominic Lau meremehkan pergeseran yang dilaporkan antara partinya dan PAS sebagai sekutu dalam PN.

Lau memetik perbandingan dengan hubungan suami isteri yang menurutnya mempunyai personaliti bertentangan, namun tetap menjadi teman sejati.

Muhammad Hafiz dengan sinis turut menyatakan bahawa adalah "elok" jika Gerakan keluar dari PN kerana parti itu tidak berfungsi seperti yang diharapkan di Pulau Pinang.

Atas sebab itu, katanya, Pemuda PAS Pulau Pinang mengusulkan dalam muktamar baru-baru ini supaya pengerusi PN negeri yang disandang Lau ditukar.

"Mesyuarat tak ada, apa tak ada. Kalau nak PRK (pilihan raya kecil) apa semua harap kepada PAS dan Bersatu saja, tak ada tindakan apa daripada Gerakan.

"Nak keluar, elok. Ramai lagi mewakili kaum Cina... bukan Gerakan saja.

“Kami dari PAS ada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), ada Cina dan India, semakin diterima ramai.

"Semalam Pemuda PAS Pulau Pinang bermesyuarat, kami pun dah lantik ketua Pemuda DHPP Pulau Pinang.

“Nantikan, mereka ini bakal gantikan Gerakan dalam PN mewakili kaum Tionghua dan India dalam PN," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS