Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ismail Haniyeh terbunuh dalam serangan Zionis di Iran - Hamas
Diterbitkan:  Jul 31, 2024 11:30 AM
Dikemaskini: 4:28 AM

Pemimpin Hamas Ismail Haniyeh terbunuh di Iran, umum kumpulan bersenjata Palestin itu.

Hamas berkata allahyarham terbunuh susulan serbuan Zionis terhadap kediamannya di Tehran, ibu negara Iran, lapor Reuters.

Dalam kenyataan, Hamas berkata gerakan Islam berkabung susulan pemergian itu.

Media Iran melaporkan tentera Pengawal Revolusi Iran mengesahkan Ismail terbunuh bersama beberapa orang pengawalnya.

Anwar dan Ismail dalam pertemuan di Qatar

Pengawal Revolusi juga berkata mereka sedang menyiasat lanjut serangan itu.

Mei lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertemu Ismail di Qatar dan menyatakan komitmen Malaysia menggesa serangan dihentikan terhadap Palestin dihentikan.

Israel belum mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan itu.

Bagaimanapun, seorang menterinya Amichay Eliyahu meraikan kematian itu dengan berkata ia “akan menjadikan dunia ini lebih baik”.

Siapa Ismail?

Pada Mei 2017,  Hamas yang mentadbir Gaza, memilih Ismail,54, sebagai pemimpin biro politik, menggantikan Khaled Meshaal.

Dia lahir di kem pelarian di Gaza selepas ibu bapanya lari daripada bandar Asqalan selepas Israel menubuhkan negara pada 1948. Ismail merupakan graduan dalam bidang sastera Arab daripada Universiti Islam, Gaza.

Pada tahun 1983, di universiti, dia menyertai gerakan Blok Pelajar Islam.

Ismail merengkok dalam penjara Israel pada hujung tahun 1980 dan selamat daripada beberapa cubaan bunuh Israel semasa mendaki tangga kepimpinan Hamas.

Awal tahun ini, Israel telah membunuh tiga orang anaknya dalam serangan di utara Gaza.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS