Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jailani belum jelaskan kedudukan sendiri, kata Speaker DUN Melaka
Diterbitkan:  Jul 31, 2024 11:30 AM
Dikemaskini: 5:41 AM

Adun tunggal PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Muhammad Jailani Khamis, mempunyai masa kurang dari tiga hari untuk menjelaskan status dirinya kepada speaker, Ibrahim Durum.

Masa itu diberikan ekoran pertemuan Ibrahim dengan Jailani bagi mendapatkan penjelasan berhubung status terkininya pada 19 Julai lalu.

Bagaimanapun kata Ibrahim dalam pertemuan tersebut Adun Rembia terbabit tidak membawa sebarang surat rasmi bagi memaklumkan keputusannya menyertai PAS.

“Sewaktu pertemuan itu, dia (Jailani) tak bawa surat (rasmi) apa-apa.

“Saya beri masa dua minggu dari 19 Julai lalu hingga Jumaat ini (2 Ogos) untuk beliau beri penjelasan. Sehingga hari ini saya belum terima surat penjelasan daripada Jailani,” kata Ibrahim yang dipetik FMT.

Isu status Jailani timbul selepas dia diumumkan menyertai PAS. Penyertaan bekas ahli Umno dan PKR itu diumumkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan di Parlimen pada 16 Julai lalu.

Sebelum itu Jailani merupakan Adun Bebas selepas digantung keahliannya oleh Umno kerana menyertai program PN di Johor pada Sept 2023.

Takiyuddin mendakwa Jailani mengemukakan permohonannya untuk menyertai PAS pada 10 Jun 2023, dan ia lalu diterima parti terbabit pada hari yang sama.

Takiyuddin Hassan

Pemimpin PAS itu berkata penyertaan Jailani ke dalam PAS tidak akan menjejaskan kedudukannya sebagai Adun kerana DUN Melaka belum menguatkuasakan undang-undang antilompat parti ketika itu.

Menurut Ibrahim, dalam pertemuannya dengan Jailani baru-baru ini dia tidak memberi sebarang jawapan terhadap persoalan yang dikemukakan.

Sebaliknya, tambah Ibrahim, Jailani meminta dia menghubungi Takiyuddin sendiri bagi mendapatkan penjelasan dan jawapan yang diperlukan.

Bagaimanapun, Ibrahim tidak berbuat demikian kerana berpendapat keputusan mengenai kedudukan Jailani di DUN hanya boleh dibuat sekiranya wakil rakyat itu membalas suratnya.

“Dia (Jailani) minta saya hubungi setiausaha agung PAS tetapi saya kata tak ada kena mengena dengan saya.

“Kalau jawab surat (itu), baru saya boleh buat keputusan untuk letak beliau di kerusi pembangkang atau kerajaan,” katanya.

Ibrahim juga menjelaskan dia akan membuat keputusan berhubung kedudukan Jailani selepas pulang dari Australia pada 8 Ogos nanti.

"Saya harap beliau akan balas surat saya,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS